
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, pada masa sama 1,394 aduan diterima berhubung majikan yang membuat pemotongan upah tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
“Secara keseluruhan sehingga kini KSM telah menerima 13,939 kes merangkumi pelbagai aduan,” katanya kepada pemberita ketika Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Pematuhan Akta 342 di Kangar, di sini.
Sementara itu, berhubung penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 Akta 446, Awang berkata, secara keseluruhan KSM telah melakukan 40,597 pemeriksaan terhadap majikan melibatkan 171,420 penginapan pekerja.
Beliau berkata, daripada jumlah itu 1,192 kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta 446 dan 135 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara melibatkan denda yang perlu dibayar menjangkau angka RM979,000.
Awang berkata, 846 kertas siasatan telah diberi izin kompaun, melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM10,268,000, dan sehingga kini RM4,272,000 kompaun telah berjaya dikutip mengikut akta berkenaan.
“Kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan pelanggaran Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja serta Peraturan 3 dan 4 di bawah Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020,” katanya.