Jumpa kanabis 242kg, pasangan suami isteri dicekup polis

Jumpa kanabis 242kg, pasangan suami isteri dicekup polis

Urusan pembelian kanabis itu dilakukan menerusi media sosial, selain penghantaran dadah dilakukan secara serahan tangan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman (tengah) bersama bungkusan kanabis diproses yang dirampas dari pangsapuri milik pasangan suami isteri itu.
KUALA LUMPUR:
Pasangan suami isteri ditahan selepas didapati memiliki 244 bungkusan kanabis diproses dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman, berkata sepasukan anggota narkotik berjaya menemui 234 bungkusan kanabis dengan seberat keseluruhannya 234kg, bernilai RM605,000 dalam kediaman pangsapuri pasangan berkenaan. Selain itu, 10 bungkusan berisi dadah terbabit dijumpai dalam kereta mereka.

Yahaya berkata, lelaki dan isterinya itu masing-masing berusia 27 dan 29, berada dalam pengawasan polis sejak dua bulan lalu.

“Modus operandi kedua-dua suspek dilakukan berurusan dengan pelanggan mereka menerusi media sosial dan apabila urusan dimuktamadkan, mereka akan menghantar barangan berkenaan kepada pelanggan secara serahan tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jumlah kanabis dirampas berkenaan boleh menampung penggunaan seramai 484,120 penagih dadah.

“Isteri suspek sebelum ini ada menjalankan perniagaan pakaian atas talian sebelum bertukar ‘profesion’ menjadi pengedar dadah, manakala suaminya tidak bekerja.”

Yahaya berkata, siasatan terhadap suspek itu menjurus kepada sumber dadah berkenaan diperoleh.

“Kami percaya dadah berkenaan diseludup dari negeri di utara,” katanya.

Pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.