Pegawai khas ADUN rugi hampir RM10,000 ditipu sindiket pinjaman

Pegawai khas ADUN rugi hampir RM10,000 ditipu sindiket pinjaman

Polis berkata mangsa membuat pinjaman itu kerana dipercayai mengalami masalah kewangan.

Mangsa lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa terlihat iklan pinjaman wang di Instagram sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan dua ejen yang dikenali sebagai ‘Tony’ dan ‘Daniel Heng’.
SEREMBAN:
Seorang pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini rugi hampir RM10,000 selepas ditipu oleh sindiket pinjaman wang yang tidak wujud dalam kejadian di Bahau, Jempol, dekat sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa terlihat iklan pinjaman wang di Instagram sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan dua ejen dikenali sebagai “Tony” dan “Daniel Heng” yang mengurus pinjaman wang itu.

Menurut Hoo, mangsa membuat pinjaman itu kerana dipercayai mengalami masalah kewangan.

“Mangsa kemudian diminta membayar sejumlah wang kerana ‘scoring’ akaun banknya tidak layak untuk melakukan pinjaman selain pembayaran itu bertujuan untuk mengurus akaun bank tersebut serta bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman berkenaan.

“Percaya dengan urusan yang dijalankan itu, mangsa membuat bayaran sebanyak enam kali berjumlah RM9,345.92 ke tiga akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, lelaki itu menyedari dia ditipu selepas ejen tersebut masih meminta tambahan bayaran untuk meluluskan pinjaman. Dia membuat laporan polis semalam.

Dalam kes berasingan, Hoo berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun kerugian RM1,950 selepas ditipu dalam urusan pembelian komputer riba secara dalam talian dan mendakwa masih tidak menerima komputer riba itu selepas membuat dua kali pembayaran pada 3 dan 9 Feb lepas.

Beliau berkata, remaja yang menyedari dia ditipu itu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.