
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Jawahar Ali Taib Khan berkata, arahan kerajaan supaya penerima Sinovac mendapatkan dos penggalak sebelum 1 Mac amat singkat dan terlalu mengejut.
“Arahan sedemikian seolah-olah menggertak orang ramai…sepatutnya kerajaan perhalusi lagi (tempoh suntikan dos penggalak) kerana kebanyakan mereka yang sudah lengkap divaksin mempunyai kesan sampingan berbeza.
“Ada yang bermasalah pada jantung, ada radang pada paru-paru (selepas divaksin)… kesan yang diterima memerlukan sedikit masa untuk mereka membuat keputusan mendapatkan dos penggalak pula,” katanya.
Pada 7 Feb lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.
Beliau dilaporkan berkata, jika penerima gagal berbuat demikian, status mereka akan dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera dalam aplikasi MySejahtera.
Dalam pada itu, Jawahar menegaskan sekiranya arahan itu berkuat kuasa pada Mac ini, ia dikhuatiri memberi kesan kepada jumlah pelanggan di premis restoran yang sudah pun terkesan teruk sejak beberapa siri perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Ketika ini kita hanya praktikkan SOP dua dos untuk masuk ke premis sekiranya arahan dos penggalak pula menjadi syarat untuk masuk ke premis sudah tentu memberi kesan kepada perniagaan.
“Sepatutnya, kerajaan beri tempoh sehingga Mei untuk orang ramai mendapatkan dos penggalak,” tegasnya.
Dalam nada berbeza, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Sharin Darus berkata, kadar suntikan dos penggalak yang masih rendah perlu diberi perhatian serius oleh Putrajaya bagi mengelakkan aktiviti ekonomi kembali lumpuh susulan peningkatan penularan wabak Covid-19.
Katanya, percanggahan dalam kerajaan dan percakaran antara parti pemerintah perlu ditolak ke tepi bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan optimum daripada penularan Covid-19.
“Kalau pihak di atas sana (parti pemerintah) berbalah, kami tak mahu tahu…kerajaan sudah ada kepakaran sepatutnya usaha vaksinasi ini dipertingkatkan lagi.
“Kami dalam sektor penjaja mahu keadaan kembali seperti biasa kerana kebanyakan peniaga sudah terkesan teruk dengan SOP Covid-19 yang berlarutan sejak dua tahun lalu,” katanya kepada FMT.
Kes harian Covid-19 masih melepasi angka 20,000 sejak 11 Feb lalu dengan 27,831 jangkitan dilaporkan semalam. Bagaimanapun Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 13 juta dos penggalak sudah diberikan setakat 13 Feb.
Peningkatan kes itu mencetuskan kebimbangan awam mengenai kawalan SOP di premis perniagaan termasuk aktiviti riadah membabitkan penyertaan orang ramai.