Fahmi Reza hadapi tuduhan baharu hina PAS

Fahmi Reza hadapi tuduhan baharu hina PAS

Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza berdepan satu lagi tuduhan baharu menghina PAS pada 1 Jun 2021.

Dakwaan baharu terhadap Fahmi Reza dibuat selepas pereka grafik dan aktivis itu berdepan tuduhan menghina bekas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Twitter minggu lalu.
KUALA LUMPUR:
Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan baharu menghina PAS di Facebook dengan mengaitkan parti itu dengan gambar minuman bir.

Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran itu pada 1 Jun 2021 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu dibuat selepas kerajaan membenarkan kilang bir terus beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2021.

Bagaimanapun, kerajaan kemudiannya mengarahkan kilang terbabit menutup operasi.

Jika sabit kesalahan, Fahmi berdepan denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara setahun.

Hakim Edwin Paramjothy membenarkan Fahmi diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes.

Fahmi diwakili Rajsurian Pillai manakala Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang mengendalikan pendakwaan.

Minggu lalu, Fahmi mohon dibicarakan atas dakwaan menghina bekas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Twitter.

Hantaran itu menyentuh dasar Jemaah Menteri pada 2021 yang membenarkan menteri menjalani kuarantin selama tiga hari berbanding 10 hari selepas pulang dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.