Ambil pendirian lebih tegas terhadap isu buruh paksa, menteri diberitahu

Ambil pendirian lebih tegas terhadap isu buruh paksa, menteri diberitahu

Aktivis berkata badan bukan kerajaan (NGO) ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu buruh paksa

Lapan syarikat Malaysia, termasuk yang terlibat dalam pengeluaran minyak sawit dan sarung tangan berada dalam senarai larangan masuk produk ke AS kerana terdapat ‘bukti munasabah’ mengenai amalan buruh paksa.
PETALING JAYA:
Aktivis hak asasi menggesa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin supaya mengambil pendirian tegas lebih jelas mengenai buruh paksa berbanding kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini.

“Kita harus menganggap ini sebagai keutamaan sekarang kerana begitu banyak syarikat disiarkan dalam berita berada dalam senarai larangan masuk Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS),” kata Pengarah Eksekutif Project Liber8, New Su Shern, iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan hak pendatang.

New berkata, beliau percaya NGO itu mengalu-alukan sebarang perbincangan mengenai perkara tersebut.

“Kita di sini bukan untuk menghentam kerajaan. Kita ingin bekerjasama bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Lapan syarikat Malaysia dimasukkan ke dalam senarai yang produknya dilarang memasuki AS kerana terdapat “bukti munasabah” berhubung amalan buruh paksa.

Angka itu didahului oleh China yang mempunyai 44 syarikat dalam senarai Perintah Sekatan Pelepasan (WRO).

Bercakap pada majlis membabitkan industri getah Isnin lalu, Zuraida menafikan bahawa Malaysia gagal menangani isu buruh paksa.

Dengan merujuk kepada cadangan Zuraida supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan pada buruh asing dengan memperkenalkan automasi peringkat tinggi dalam industri intensif buruh, New berkata, menteri itu “tidak menyediakan penyelesaian” kepada masalah semasa di peringkat bawah.

Katanya, Zuraida tidak membantu dalam menggerakkan perbincangan mengenai undang-undang dan dasar yang boleh digunakan dalam menangani isu buruh paksa.

Bercakap mengenai Sistem Berpusat Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS), iaitu aplikasi dalam talian Malaysia untuk mengurus pengambilan, Zuraida berkata, Malaysia akan memaklumkan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa negara telah menaik taraf sistem itu dan kini lebih telus.

Mengulas perkara itu, pakar hak asasi pekerja asing antarabangsa Andy Hall menyifatkan FWCMS sebagai “besar dan korup”.

Beliau mengulas beberapa “langkah yang tidak perlu dan bersindiket” seperti pemeriksaan keselamatan dan saringan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.