‘Premier’ sedap bunyinya, tapi apa faedah bagi rakyat, soal pemimpin Sabah

‘Premier’ sedap bunyinya, tapi apa faedah bagi rakyat, soal pemimpin Sabah

Timbalan Ketua Menteri Sabah Joachim Gunsalam berkata beliau akan menyokong penukaran gelaran itu jika ia membawa kelebihan dari segi politik dan penyempurnaan hak negeri.

ADUN Sabah sepatutnya memberi tumpuan kepada isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963, bukan penukaran gelaran bagi jawatan ketua eksekutif, kata Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Joachim Gunsalam memberi respons dingin terhadap persoalan sama ada kerajaannya patut mencontohi Sarawak dan menggunakan gelaran “Premier” bagi jawatan ketua eksekutif.

“Bunyinya sedap, tetapi apa faedah sebenarnya?” katanya kepada FMT.

“Jika sistem sekarang berfungsi untuk Sabah, kenapa hendak perbaiki sesuatu yang tidak rosak?”

Katanya, beliau akan menyokong penukaran gelaran itu jika ia membawa kelebihan dari segi politik dan penyempurnaan hak negeri.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai satu pertiga perwakilan di Parlimen, justeru sukar untuk menggubal undang-undang penurunan kuasa kepada kedua-dua wilayah itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam meluluskan rang undang-undang untuk menukar gelaran jawatan “Ketua Menteri” kepada “Premier”.

Ini susulan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan semula Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi yang setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata, penukaran gelaran itu tidak memberi manfaat kepada penyandangnya dari segi kewangan.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman berkata, Sarawak berhak menukar gelaran “Ketua Menteri”, tetapi Sabah tidak perlu berbuat perkara sama semata-mata untuk menukarnya.

“Ini hanyalah perubahan kosmetik. Perkara yang lebih penting adalah isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Itulah yang kita perjuangkan dan itulah yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak,” katanya.

Azis, yang juga Ketua Pemuda Warisan berkata, rakyat Sabah masih memperjuangkan ketidaksamaan pengagihan kekayaan dan kurangnya pembangunan, walaupun statusnya telah bertukar daripada “negeri” kepada “wilayah”.

“Apa yang kami mahu adalah semua hak negeri kami dikembalikan dan apa yang terhutang dibayar,” katanya.

Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Kenny Chua berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan perkara itu secara menyeluruh jika mahu mengikut jejak langkah Sarawak.

“Jika ia hanya penukaran gelaran, tiada makna,” katanya.

Bagaimanapun, ADUN Sri Tanjong Justin Wong berkata, Sabah harus menggunakan gelaran “Premier” bagi ketua eksekutif untuk mencerminkan “status sebenar dan semasa” wilayah itu.

“Saya menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menuntut semula kuasa yang dipercayai diperuntukkan kepada Premier atau ketua eksekutif sesuatu wilayah,” katanya.

Beliau menggesa sidang Dewan Undangan Khas diadakan bagi mengisytiharkan status Sabah berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, penuntutan semula autonomi dan hak wilayah itu sepatutnya tidak ditangguhkan supaya tidak terlalu ketinggalan di belakang Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.