
Ini antara perbelanjaan didakwa terlibat dalam konspirasi persekutuan melibatkan bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng yang didengar di mahkamah pada Selasa.
Seorang saksi kerajaan memberitahu mahkamah bagaimana berjuta-juta dolar yang diseleweng hasil skandal 1MDB telah dibelanjakan termasuk untuk parti mewah yang dibiayai ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Ng dituduh bersubahat dengan bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner untuk membantu Low mencuri dana itu sebagai pertukaran untuk menerima sogokan.
Juri di Brooklyn, New York, dimaklumkan mengenai invois daripada satu pesta diadakan untuk Low di Las Vegas di mana makanan, minuman, “bakat” dan “model berkualiti tinggi” keseluruhannya mencapai perbelanjaan lebih USD3.6 juta.
Nilai mahal itu termasuk 65 botol Cristal Champagne dengan harga kira-kira USD100,000 dan tip sebanyak USD38,955.
Ng, satu-satunya bekas pekerja Goldman Sachs yang dibicarakan di AS atas skandal itu, didakwa bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram AS dengan mencuri berbilion dolar.
Menurut pendakwa, semua bayaran berkenaan antara yang dibelanjakan Low hasil wang kira-kira USD700 juta yang dilarikannya dalam kes penipuan global.
Antara perbelanjaan yang diperincikan untuk mahkamah termasuk bayaran kepada selebriti seperti DiCaprio berjumlah USD250,000; Paris Hilton (USD100,000); Megan Fox (USD250,000); dan Kim Kardashian (USD50,000).
Mahkamah diberitahu Low berpesta “seperti tiada hari esok,” mengikut keterangan Alex Cohen, Ketua Pegawai Kewangan Strategic Group, iaitu syarikat hiburan dan pemasaran yang mengatur parti untuk Low.
Cohen menggambarkan pelbagai parti besar menampilkan tetamu dan penghibur terkemuka antaranya Sean “Diddy” Combs, Jamie Foxx dan Fergie.
Beliau berkata, Low memberikan syarikat hiburan itu sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungannya pada 2012. Malah, katanya, syarikat dibayar USD5,000 bagi satu acara hanya untuk bidaan model sahaja dengan semuanya didakwa hasil wang yang diselewengkan Low daripada 1MDB.
Satu acara diuruskan Strategic untuk Low di atas kapal layar di French Riviera pada Julai 2012 malah mensyaratkan model mesti diterbangkan ke majlis berkenaan.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Zach Intrater, Cohen ditanya mengapa dia menulis “Strategic Escorts LLC” apabila merujuk kepada usaha syarikat untuk mengupah model tersebut.
“Saya mentertawakan bahawa ada wanita akan menyertai pelayaran itu, malah kami yang telah mendapatkan mereka,” katanya.