Mahkamah arah kerajaan jawab permohonan ahli perniagaan cabar undang-undang ekstradisi

Mahkamah arah kerajaan jawab permohonan ahli perniagaan cabar undang-undang ekstradisi

Ahli perniagaan dari Perak Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua ditahan Bukit Aman pada 14 Sep 2020 selepas Amerika Syarikat membuat permohonan mengekstradisi mereka.

Ahli perniagaan dari Perak, Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua mencabar permohonan ekstradisi oleh kerajaan Amerika Syarikat. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan kerajaan menjawab permohonan difailkan oleh ahli perniagaan yang mempersoalkan keabsahan undang-undang ekstradisi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohamad Khalid memberi tempoh hingga 2 Mac ini untuk Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan jawapannya.

“Kami akan menyangkal beberapa fakta yang mereka bangkitkan dalam afidavit mereka. Pemohon akan memfailkan jawapan mereka kepada kami pada 16 Mac,” katanya.

Ahli perniagaan dari Perak, Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua ditahan oleh Bukit Aman pada 14 Sep 2020 selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk mengekstradisi mereka.

Kerajaan AS mahu mereka menghadapi pertuduhan di Columbia kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman antarabangsa bertujuan mencuri identiti dan teknologi permainan video, selain menanam “ransomware” serta mengintip aktivis Hong Kong.

Ling dan Wong memfailkan permohonan bulan lalu supaya kes itu dirujuk kepada Mahkamah Tinggi dengan mengatakan ia mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi dari sudut perlembagaan.

Seksyen 4 menyatakan Menteri Dalam Negeri membuat arahan untuk mengekstradisi suspek ke negara yang meminta dia menghadapi pertuduhan, manakala Seksyen 20 mengatakan mahkamah perlu menahan suspek sementara menunggu perintah menteri untuk menyerahkannya.

Mereka mendakwa kedua-dua peruntukan itu melanggar beberapa perkara bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kebebasan asas dan kuasa kehakiman.

Mahkamah Sesyen pada Sept tahun lalu mendengar prosiding ekstradisi itu tetapi belum membuat keputusan.

Selain memohon untuk memindahkan kes ekstradisi ke Mahkamah Tinggi, Ling dan Wong sebelum ini memfailkan saman sivil untuk mencabar Seksyen 4 dan 20.

Kerajaan bertindak untuk membatalkan saman sivil itu kerana isu Seksyen 4 dan 20 perlu dibangkitkan semasa pendengaran ekstradisi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.