Kes saman LHDN: Permohonan Shafee gantung prosiding didengar 16 Jun

Kes saman LHDN: Permohonan Shafee gantung prosiding didengar 16 Jun

Peguam itu memohon perintah prosiding berkenaan digantung sementara menunggu permohonan Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin, mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan.

Muhammad Shafee Abdullah turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019, selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 16 Jun ini untuk mendengar permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah bagi menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta, sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee selaku defendan, berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin, pada 3.30 petang.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nurul Izzah Hasan Basri, hari ini, yang turut dihadiri Peguam Hasil Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku plaintif.

Shafee memfailkan permohonan itu pada 3 Nov 2021 antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu permohonan Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin, untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019, selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.

Pada 27 Sept lalu, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lalu mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.