
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, keenam-enam suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar dua negeri itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak.
Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai menggunakan rumah teres dua tingkat itu sebagai makmal pemprosesan dadah sejak pertengahan tahun lepas.
“Pihak polis merampas dadah disyaki jenis heroin dianggarkan seberat 9.4kg dan syabu seberat 1.1kg bernilai kira-kira RM167,268.
“Turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Menurutnya jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 52,800 orang penagih dadah.
Beliau berkata, polis turut menyita lima kenderaan dan dua barang kemas bernilai RM181,500, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM348,768.
Mior Faridalathrash berkata, saringan awal mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ganja dan candu serta kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, mereka kini direman selama enam hari bermula Isnin lepas sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.