Mengapa ada rekod pengundi ‘meninggal dunia’, ‘tamat tempoh’, Fuziah minta SPR perjelas

Mengapa ada rekod pengundi ‘meninggal dunia’, ‘tamat tempoh’, Fuziah minta SPR perjelas

Fuziah Salleh berkata semakan dibuat selepas menerima pelbagai aduan dari unit data parti-parti Pakatan Harapan berkenaan data pelik sebagai nama pengundi.

SPR digesa membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang diwartakan, kata Fuziah Salleh.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan integriti data Daftar Pemilih Tambahan (DPT) selepas beberapa semakan ke atas nombor kad pengenalan nama pemilih mendapati ia telah “meninggal dunia” dan “tamat tempoh”.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Fuziah Salleh berkata, semakan itu dibuat selepas menerima pelbagai aduan daripada unit data parti-parti Pakatan Harapan (PH) berkenaan data pelik sebagai nama pengundi.

“Seperti ‘Deceased’ (meninggal dunia) dan ‘Expired’ (tamat tempoh) sebagai nama pemilih.

“Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel no kad pengenalan daripada DPT tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, SPR sebelum ini menyediakan Rang DPT setiap suku tahun yang dipamerkan kepada awam serta dibekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti politik dan individu untuk membuat bantahan sebelum DPT diwartakan.

Bagaimanapun katanya, amalan berkenaan tidak lagi diteruskan dan DPT terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos mahal untuk tujuan menyemak kesahihan maklumat.

“Saya gesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah diwartakan tersebut. Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi tetapi dikhuatiri kesahihannya?

“Adakah pilihan raya negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ (penyelewengan) pada daftar pemilih yang telah diwartakan?,” tegasnya.

Fuziah berkata, pada 14 Jan, SPR memperakui dan mewartakan DPT sehingga Dis 2021.

Kemudian pada 7 Feb, SPR mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk 2021 bagi seluruh negara dan memaklumkan bahawa ia sudah sedia untuk dibekalkan kepada parti politik, katanya.

Bagaimanapun bekas timbalan menteri itu mendakwa, sehingga kini, iaitu sebulan selepas DPT sehingga Dis 2021 diwartakan, SPR masih belum bersedia membekalkan senarai daftar tersebut kepada pihak yang ingin membeli.

“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah ia disebabkan data berikut terdapat kesalahan atau ia disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang?

“Atau apa sebenarnya? Berkali- kali pihak unit data PH tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan,” dakwanya.

Pada 14 Jan lepas, SPR mengumumkan terdapat 5,718,760 juta warganegara berusia 18 tahun sebagai pengundi baharu secara automatik.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, proses semakan nama pemilih dilaksanakan selama enam bulan berakhir pada 13 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.