Jawatankuasa Parlimen akan bertemu SC mengenai pemilikan saham Azam

Jawatankuasa Parlimen akan bertemu SC mengenai pemilikan saham Azam

Mesyuarat dijangka berlangsung di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur pada 9 pagi esok.

Ong Kian Ming yang menganggotai PSC mengesahkan mesyuarat itu akan berlangsung di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur pada 9 pagi esok.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kewangan dan Ekonomi akan bertemu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pagi esok berhubung kontroversi pemilikan saham Azam Baki.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, yang menganggotai PSC, mengesahkan bahawa mesyuarat itu akan berlangsung di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur pada 9 pagi.

“Ya, saya akan hadir,” katanya ringkas kepada FMT.

Beliau akan menyenaraikan soalan untuk SC lewat hari ini atau esok, tambahnya.

Menurut Malaysiakini, jemputan dihantar kepada kesemua sembilan ahli jawatankuasa itu dan Pengerusinya, iaitu Ahli Parlimen Rompin Hasan Arifin, akan menghadiri mesyuarat itu.

PSC turut dianggotai Idris Jusoh (Besut), Redzuan Yusof (Alor Gajah), Robert Lawson Chuat (Betong), Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Wong Chen (Subang), Teresa Kok (Seputeh) and Khalid Samad (Shah Alam).

Azam, yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini berkata, beliau bersedia untuk disoal siasat oleh PSC berhubung sahamnya dalam syarikat senaraian awam selagi ia dijalankan mengikut undang-undang.

Bulan lepas SC berkata, ia tidak dapat “memastikan secara konklusif” bahawa Azam telah melanggar undang-undang berhubung pemilikan saham selepas mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatannya.

SC kemudian menjelaskan bahawa siasatannya mendapati Azam dinamakan sebagai pemegang akaun dagangan saham terbabit dan mempunyai kawalan ke atasnya.

Beliau juga telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut, tambah SC.

Azam menafikan sebarang salah laku berhubung perkara itu dengan berkata, adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham dalam syarikat senaraian awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.