
Loh Siew Hong sebelum ini tidak dibenarkan bertemu anak kembar perempuannya berusia 14 tahun dan anak lelakinya berusia 10 tahun di fasiliti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan sekatan berkait wabak Covid-19.
Wanita itu memberitahu FMT bahawa beliau berada di Sungai Petani untuk membeli nasi ayam dan pencuci mulut kaum Cina kegemaran anak-anaknya.
“Kata mereka, saya tidak perlu buat ujian Covid-19 lagi seperti yang saya buat semalam. Saya tidak sabar untuk jumpa anak-anak saya,” katanya.
Loh beranggapan anak-anaknya “hilang” setelah keluarga bekas suaminya mendakwa tidak tahu di mana mereka berada. Wanita berusia 34 tahun itu kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan anak-anaknya.
Beliau mendapat hak penjagaan anak-anaknya tahun lepas.
Polis memberitahunya bahawa anak-anaknya berada bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis dan kemudian mengatur pertemuan mereka di balai polis di Kangar.
Loh memohon mereka diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga saman habeas corpusnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Feb.