Hormati keputusan mahkamah tertinggi dalam isu Loh, kata pemimpin Amanah

Hormati keputusan mahkamah tertinggi dalam isu Loh, kata pemimpin Amanah

Faiz Fadzil turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah Faiz Fadzil, berkata isu penukaran agama adalah suatu isu yang sensitif, keharmonian hidup di kalangan masyarakat berbilang kaum harus dipelihara dan biarlah undang-undang menjadi panduan dan bukannya sentimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua pihak bersangkutan dengan kontroversi membabitkan Loh Siew Hong dan anak-anaknya sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penukaran agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Loh, 34, ibu tunggal yang baru-baru ini mengetahui ketiga-tiga anaknya memeluk Islam tanpa persetujuannya sempat bertemu anak-anaknya itu pada Ahad, selepas tiga tahun.

Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah Faiz Fadzil, berkata turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Keputusan ini adalah selaras dengan tafsiran Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh kerana sudah ada satu keputusan oleh mahkamah tertinggi untuk isu sebegini, seharusnya semua pihak, individu dan institusi menghormati dan menuruti keputusan ini supaya tiada lagi perbalahan berlaku sehingga mengheret ke sentimen, sedangkan anak-anak bergelut untuk mendapatkan pembelaan dan kasih sayang sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden PAS Allahyarham Fadzil Noor, mengakui isu penukaran agama ini adalah sensitif, namun kunci kepada isu ini adalah undang-undang dihormati.

“Isu penukaran agama adalah suatu isu yang sensitif. Keharmonian hidup di kalangan masyarakat berbilang kaum harus dipelihara dan biarlah undang-undang menjadi panduan dan bukannya sentimen,” katanya.

“Memisahkan ibu atau bapa daripada anak-anak tanpa sebab munasabah adalah tidak patut. Islam tidak memaksa untuk memeluk agama Islam. Kebajikan anak-anak dari sudut kasih sayang, penjagaan makan minum, pendidikan dan perhatian yang menjadi faktor utama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Low tidak bertemu dengan anak-anaknya sejak tiga tahun lalu susulan sedang dipulihkan di pusat perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga.

Beliau sebelum itu dalam proses penceraian dengan suaminya yang menderanya, selain mendapat hak penjagaan tiga anaknya itu, yang diberikan pada Disember.

Wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak-anaknya minggu lalu selepas tidak dapat menjejak mereka dan polis kemudian memaklumkan kepadanya, anak-anaknya itu berada dalam penjagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Walaupun Loh diberikan hak penjagaan penuh terhadap tiga anaknya, dia membenarkan anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu sementara menunggu permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Feb supaya anak-anak itu diserahkan semula secara rasmi kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.