‘Dinosaur’ politik sekat kebangkitan pemimpin baharu, kata penganalisis

‘Dinosaur’ politik sekat kebangkitan pemimpin baharu, kata penganalisis

Ahli politik telah mencipta sistem yang tidak mengehadkan bilangan penggal wakil rakyat berkhidmat, dan ini tidak menggalakkan bakat baharu naik, katanya.

Pengundi yang terus menyokong pemimpin ‘lama’ turut menyumbang kepada masalah kekurangan pemimpin baharu yang lebih muda, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Negara akan bergelut untuk melahirkan pemimpin luar biasa kerana ketua-ketua parti politik enggan melepaskan kuasa dan memberi laluan kepada generasi akan datang, kata penganalisis politik.

“Mereka seolah-olah tidak mahu meletakkan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin baharu, muda dan akan datang,” kata Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya kepada FMT.

Beliau menyifatkan pemimpin-pemimpin tertinggi sebagai “dinosaur politik” dengan menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh yang masih memainkan peranan aktif pada usia 96 tahun dan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih menjadi Ahli Parlimen pada usia 80-an.

Awang Azman Pawi.

Ramai pemimpin parti lain, termasuk Lim Kit Siang, juga telah aktif selama beberapa dekad.

Beliau berkata, masalahnya bukan kerana Malaysia tidak mampu melahirkan pemimpin luar biasa, tetapi kebangkitan pemimpin muda dengan idea-idea segar disekat oleh mereka dari “zaman lampau”.

Beliau berkata demikian bagi menjawab komen Tengku Razaleigh baru-baru ini bahawa negara memerlukan kepimpinan luar biasa untuk menangani krisis politik dan ekonomi.

Awang Azman berkata, ahli politik telah mencipta sistem yang tidak mengehadkan bilangan penggal wakil rakyat layak berkhidmat dan ini tidak menggalakkan bakat baharu naik.

Katanya, masalah ini menjadi lebih buruk apabila pengundi terus menyokong pemimpin yang enggan memberi laluan kepada muka baharu.

“Ramai pengundi, terutamanya mereka yang berfikiran konservatif, terus memilih ahli-ahli politik ini atas rasa bersyukur dan berterima kasih. Mereka gagal menggesa supaya ahli politik ini berundur,” katanya.

Oh Ei Sun.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kekurangan pemimpin luar biasa memaksa pengundi membuat pilihan mengikut kaum dan agama.

Katanya, ramai pengundi terus menyokong ahli politik yang mengamalkan sentimen itu walaupun mereka tidak mempunyai kualiti kepimpinan. Ini menyukarkan orang awam daripada mendapat pemimpin yang boleh merentasi kaum dan agama dan menumpukan kepada usaha membangunkan negara.

Oh berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh parti politik kerana ia perlu menurut pendapat dan sentimen pengundi secara amnya, justeru terpulang kepada pengundi untuk melangkaui sentimen kaum dan agama jika mereka mahu melihat kebangkitan kepimpinan yang lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.