
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak, berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan iaitu seperti di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan juga di Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“DPT BLN1/2022 ini mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Jan 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.
“Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan,” kata beliau dalam kenyataan.
Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.
Menurutnya, jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.
“Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.