BERSIH gesa kerajaan tubuhkan jawatankuasa audit daftar pemilih bebas

BERSIH gesa kerajaan tubuhkan jawatankuasa audit daftar pemilih bebas

Badan pemantau pilihan raya itu berkata, jawatankuasa terbabit diperlukan untuk memastikan integriti daftar pemilih.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, melaporkan penyelewengan dikesan apabila unit data parti itu meneliti senarai pemilih baharu yang didaftarkan oleh SPR antara 30 Sept dan 31 Dis 2021.
PETALING JAYA:
Badan pemantau pilihan raya, BERSIH menggesa kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa audit daftar pemilih bebas.

Ia susulan laporan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mempersoalkan penyelewengan, termasuk pemilih meninggal dunia dan tamat tempoh dalam daftar pemilih untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengarah Pilihan Raya PKR itu memberitahu FMT, penyelewengan dikesan apabila unit data parti itu meneliti senarai pemilih baharu yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara 30 Sept dan 31 Dis 2021.

Mengulas mengenainya, BERSIH berkata, Perdana Menteri perlu segera menubuhkan jawatankuasa audit daftar pemilih bebas untuk menyemak dan mengaudit daftar pemilih.

Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa itu adalah penting bagi memastikan integriti daftar pemilih berikutan kemasukan pemilih baharu, Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, yang menyaksikan pertambahan 5.8 juta pemilih baharu di seluruh negara.

“Jawatankuasa ini mesti melibatkan semua pihak, termasuk pembangkang, pakar pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya badan itu dalam satu kenyataan.

BERSIH juga menggesa SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara meneliti dakwaan Fuziah kerana kedua-dua agensi itu bertanggungjawab mendaftarkan nama dalam daftar pemilih.

“SPR juga perlu lebih berhati-hati supaya nama yang dimasukkan dalam daftar pemilih adalah sah.

“Keyakinan pengundi terhadap integriti daftar pemilih adalah penting supaya proses dan keputusan pilihan raya dapat diterima oleh semua pihak,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, dengan pencalonan ditetapkan pada 26 Feb. Pengundian awal akan berlangsung pada 8 Mac.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom, berkata terdapat 756,247 pengundi baharu dalam PRN ini dengan 176,618 daripadanya berumur antara 18 dan 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.