Beri laporan kematian dalam tahanan, SUARAM gesa polis

Beri laporan kematian dalam tahanan, SUARAM gesa polis

SUARAM juga menuntut supaya laporan bedah siasat turut diumumkan kepada masyarakat agar siasatan dapat dilihat sebagai telus.

Sekiranya ia benar-benar ikhlas untuk mencegah kes kematian dalam tahanan, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) perlu bersikap telus, kata SUARAM. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa polis memberikan laporan susulan berhubung kematian dalam tahanan terbaharu yang dilaporkan semalam.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, ini berikutan trend kematian dalam tahanan polis dilihat akan meningkat tahun ini dengan membabitkan lapan orang sehingga kini.

“Dalam kes kematian yang terbaru ini, SUARAM menggesa pihak polis memberikan laporan susulan berkenaan dengan beberapa perkara.

“Pertama, bagaimana Orang Kena Tahan (OKT) boleh mengalami sesak nafas kurang sejam selepas ditahan dan apakah tindakan susulan selepas OKT melaporkan dia mengalami kesesakan nafas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sevan juga berkata, SUARAM menggesa polis memberikan penjelasan tentang keadaan OKT semasa dan selepas ditahan atau bagaimanakah OKT ditahan. Sebagai contoh adakah berlaku pergelutan ketika penahanan dibuat.

“Kami juga menuntut agar laporan bedah siasat turut diumumkan kepada masyarakat agar siasatan itu dapat dilihat sebagai telus.

“Sekiranya Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) benar-benar ikhlas untuk mencegah kes kematian dalam tahanan, maka ia perlu bersikap telus dalam urusan isu kematian dalam tahanan,” katanya.

Semalam, terdapat satu lagi kes kematian dalam tahanan polis dilaporkan dan kali ini melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad dalam kenyataan berkata, lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital Selayang, kelmarin.

Pada 9 Feb lalu, polis mengesahkan terdapat tujuh kes kematian OKT dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap dan dua lagi kes meninggal dunia di hospital, manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.

Dalam pada itu Sevan berkata, Jabatan Peguam Negara juga lambat bertindak berhubung isu kematian dalam tahanan.

Katanya, SUARAM mempersoalkan jumlah inkues yang dijalankan setakat ini dan mengapakah semua kes kematian dalam tahanan tidak mempunyai inkues secara automatik seperti termaktub dalam Kanun Tatacara Jenayah.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula bersikap acuh tak acuh dalam menangani isu kematian dalam tahanan.

“Mengapakah tiada koordinasi antara pihak polis dengan KDN dan Jabatan Peguam Negara dalam siasatan dan tindakan susulan mengenai kematian dalam tahanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.