Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bebas daripada tahanan

Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bebas daripada tahanan

Mohamed Khairuzzaman dibebaskan selepas ditahan minggu lalu.

Mohamed Khairuzzaman bersama peguamnya selepas dibebaskan dari pusat tahanan Imigresen Putrajaya. 
KUALA LUMPUR:
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Mohamed Khairuzzaman, yang ditahan minggu lalu, dibebaskan hari ini.

Menurut isterinya, Rieta Rahman, suaminya itu menghubunginya untuk memaklumkan berita baik tersebut.

“Beliau memberitahu saya bahawa peguamnya ada di situ untuk mengambilnya dan dibawa pulang ke rumah.

“Syukur dan penghargaan kepada mereka yang membantu pembebasannya. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia,” katanya kepada FMT dalam temu bual.

Peguam Khairuzzaman, Ngeow Chow Ying berkata, tiada syarat ditetapkan atas pembebasannya itu dan beliau kini bebas sepenuhnya.

“Pejabat kami dimaklumkan berhubung pembebasannya pada 1 tengah hari tadi dan kami diberitahu supaya datang untuk mengambilnya,” katanya kepada FMT.

Khairuzzaman, 70, berkata, beliau terharu selepas dimaklumkan berhubung pembebasannya dan mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, peguam dan kerajaan Malaysia.

“Saya melalui pengalaman memalukan selepas ditahan susulan dakwaan palsu oleh kerajaan Bangladesh.

“Ahli keluarga saya juga bimbang dan mereka sangat risau tentang kesihatan diri saya,” katanya kepada FMT menerusi panggilan telefon.

Beliau menegaskan banyak rekod dan dokumen rasmi yang terdapat dalam domain awam menunjukkan beliau tidak terbabit dalam sebarang aktiviti jenayah.

“Sekarang saya mahu menemui isteri saya di Amerika Syarikat secepat mungkin.

“Saya sudah bercakap dengannya menerusi telefon sejurus dibebaskan dan dia sangat gembira,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.