
Hakim M Gunalan berkata, hakim perbicaraan telah mentafsir undang-undang dengan betul dan menilai fakta di hadapannya dalam membuat keputusan itu.
“Kami tidak bersetuju dengan responden (kerajaan) bahawa hakim telah tersilap tafsir peruntukan dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dan dalam membuat keputusannya.
“Kami cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa tiada merit dalam rayuan ini,” kata Gunalan, yang membacakan penghakiman ringkas tiga anggota panel yang menolak rayuan kerajaan.
Bagaimanapun hakim Kamaludin Md Said dan Vazeer Alam Mydin Meera tidak memerintahkan kerajaan membayar kos kerana ia isu adalah kepentingan awam.
Keputusan hari ini juga bermakna perintah Mahkamah Tinggi supaya remaja itu diberikan sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan perlu dipatuhi.
Pada 2 Mei 2019, hakim Mahkamah Tinggi Faizah Jamaludin membenarkan permohonan semakan kehakiman dan memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara memberikan dokumen yang diperlukan kepada remaja itu.
Faizah berkata, remaja tersebut adalah warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Ibu bapanya yang menetap di Sungai Siput, Perak telah mendaftarkan perkahwinan mereka dua tahun selepas kelahirannya.
“Ibu bapanya mendaftarkan perkahwinan mereka pada 31 Jan 2008 dan dari tarikh itu dia tidak lagi dilihat sebagai anak tidak sah taraf,” kata Faizah.
Remaja itu memohon MyKad sebanyak tiga kali tetapi ditolak setiap kali permohonan itu dibuat.
Dia memfailkan semakan kehakiman melalui bapanya, Lew Yee Hong, pada Oktober 2016 untuk mencabar keputusan kerajaan menolak permohonannya selain memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan mengeluarkan MyKad kepadanya.
Kerajaan mengambil pendirian bahawa permohonan kewarganegaraan tidak boleh disemak di mahkamah.
Katanya, Menteri Dalam Negeri diberi kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan atau tidak membenarkan permohonan kewarganegaraan.