
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hanipah Farikullah berkata, tiada kesilapan boleh dirayu dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Katanya, syarikat itu tidak mematuhi garis panduan dalaman sendiri dan gagal memastikan kontraktor mematuhi penyata kaedah kerja.
Hanipah, yang bersidang bersama Che Ruzima Ghazali dan Nordin Hassan berkata, syarikat itu juga gagal menjalankan analisis bahaya pekerjaan.
“Memandangkan perkara di atas, rayuan ini ditolak,” katanya ketika juga mengesahkan RM5,000 sebagai kos pendakwaan.
Syarikat itu didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal menyediakan sistem kerja yang selamat bagi kerja mengganti jeriji di terminal gas daratnya di Kerteh, Kemaman, Terengganu .
Ini mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa Md Noor Yusof pada 13 Mac 2014.
Penalti bagi kesalahan itu adalah denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kejadian berlaku di pelantar sistem penghantaran di Kemaman, milik Petronas Carigali, yang mengupah subkontraktor PFC Engineering Sdn Bhd bagi kerja-kerja penggantian jeriji bawah seliaan Md Noor.
Mangsa maut setelah terjatuh dari pelantar semasa menjalankan pemeriksaan ke atas kerja-kerja tersebut.
Peguam Ragunath Kesavan mewakili syarikat itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron menjalankan pendakwaan.