
Ini kerana Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.
Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5% sehingga jumlah penghakiman dibayar.
FMT telah melihat permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran semalam dan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir mengesahkan perkara itu.
Penghakiman ingkar berlaku apabila defendan dalam kes perundangan gagal menjawab saman mahkamah atau tidak hadir ke mahkamah. Jika ini berlaku, mahkamah boleh membuat keputusan yang memihak kepada plaintif.
Pada 7 Feb, hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Feb.
Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.
Dengan mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.
Pada 19 Jan, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk kes beliau dikatakan berbogel di dalam bilik tidur rumah seorang wanita.
Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya di Facebook dan YouTube.
Katanya, kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat, serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.
Na’im membuat laporan polis pada 12 Jan untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan bergelar “Datin”, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya.