
Masalah bermula apabila keesokan harinya, wanita berkenaan menghubungi lelaki terbabit meminta “wang saku” sekiranya tidak mahu rakaman panggilan video bogel itu disebarkan.
Bimbang video dirinya tersebar, lelaki berkenaan terpaksa bersetuju memenuhi permintaan itu. Bagaimanapun wanita terbabit terus memeras ugut lebih banyak wang daripada mangsa.
Walaupun kes itu dilihat hanya seperti nasib malang seorang lelaki, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Di Johor sahaja, 367 individu berumur 20 hingga 40 tahun telah membuat laporan sejak Januari selepas menjadi mangsa skim peras ugut melalui mesej intim sedemikian.
Kes-kes ini melibatkan kerugian antara RM500,000 hingga RM1 juta dan Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat percaya masih ada lagi mangsa yang belum membuat laporan.
“Mereka yang tampil ke hadapan tidak dapat berdepan dengan situasi selepas penjenayah itu berulang kali memeras mereka walaupun mangsa pada awal menuruti permintaan memberikan wang,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, mangsa tidak perlu berasa malu untuk tampil membuat laporan kerana siasatan yang dijalankan adalah sulit.
Setakat ini, polis berjaya menumpaskan sekurang-kurangnya satu sindiket selepas menahan empat individu di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Kamarul berkata, sindiket itu akan menggunakan seorang wanita cantik untuk berbual panjang dengan mangsa sebelum menukar topik perbualan berkaitan seks.
“Seorang lagi rakan yang bersubahat akan bersembunyi di belakang kamera untuk merakam video mangsa berbogel,” katanya.
Kamarul berkata, keadaan yang menjadikan mangsa mudah dijadikan sasaran adalah penggunaan aplikasi sembang seperti Wechat dan Michat yang sering digunakan oleh mereka yang berbual intim secara maya dengan menghantar mesej lucah, foto atau video melalui telefon bimbit, komputer atau mana-mana peranti digital.
Pakar kriminologi dan psikologi Geshina Ayu Mat Saat berkata, kes sedemikian akhirnya berpunca daripada kurangnya kawalan diri, walaupun penting untuk memahami “permainan” penjenayah bagi mengelak daripada menjadi mangsa.
Geshina dari Universiti Sains Malaysia berkata, sindiket itu bertujuan mengeksploitasi keinginan seksual mangsa dan memanipulasinya untuk memenuhi keperluan mereka.
Beliau berkata, orang ramai juga mesti berhati-hati dengan memberikan maklumat peribadi atau membiarkan ia berlaku hanya kerana individu yang dikenali dalam talian itu bersetuju menerima sebarang cadangan.
“Sindiket menggunakan teknik ‘mirroring’ untuk menggalakkan mangsa melakukan aktiviti tertentu secara bersama, contohnya, berkongsi gambar bogel,” katanya.