
Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Muhammad Amin Wan Yahya berkata, beliau mendapati perkara berhubung kepentingan awam yang membangkitkan potensi kemudaratan kepada awam, termasuk pelabur dan pemegang saham, menjadi faktor penolak untuk mahkamah tidak membenarkan penangguhan.
“Saya tidak lihat ada keadaan istimewa untuk membenarkan penangguhan ditampilkan, sehubungan itu saya mengetepikan permohonan ini dengan kos RM5,000,” katanya.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam SDHB, Mak Lin Kum serta peguam plaintif (Bursa Malaysia Securities Bhd), Loh Siew Cheang dan Kelvin Seet.
Perkara itu disahkan peguam Chris Leong yang menjadi pemerhati kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).
November lalu, Bursa memfailkan saman pemula untuk memaksa Serba Dinamik mendedahkan FFU SIR bertarikh 30 Sept 2021 yang dikendalikan E&Y Consulting.
Tindakan undang-undang itu diambil berikutan kegagalan Serba Dinamik mematuhi arahan Bursa pada 22 Okt lepas untuk mendedahkan FFU berkenaan.
Pada 7 Feb lalu, Wan Muhammad Amin yang mengarahkan SDHB membuat hebahan awam FFU oleh E&Y Consulting, turut mengarahkan syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu mendedahkan FFU dalam tempoh dua hari pasaran dari tarikh arahan itu dikeluarkan.
Beliau dalam penghakimannya berkata, mahkamah memiliki kuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan Bursa Malaysia Securities Bhd, yang memfailkan permohonan ke atas Serba Dinamik (defendan) di bawah Seksyen 360 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
“Maklumat yang dipohon untuk diumumkan (dalam FFU) adalah ‘material’ dan tidak bergantung sama ada ia benar, palsu atau muktamad. Defendan berhak untuk tidak bersetuju dengan maklumat yang akan didedahkan.
“Bursa Malaysia berhak dan diberi kuasa di bawah Seksyen 11 CMSA untuk memberi arahan menegakkan dan mengekalkan pasaran sekuriti yang adil dan teratur, bagi menjaga kepentingan orang awam dan pelabur, di samping mengambil tindakan sewajarnya di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), bagi tujuan memantau dan memastikan pematuhan kepada MMLR.
“Dalam keadaan ini, mahkamah membenarkan Lampiran 1 (permohonan oleh Bursa terhadap SDHB) untuk memaksa syarikat itu mendedahkan FFU berkenaan.”
Susulan itu SDHB memohon untuk penangguhan perintah mahkamah.