Peniaga nasi lemak jadi ‘ibu kutu’ didenda RM50,000

Peniaga nasi lemak jadi ‘ibu kutu’ didenda RM50,000

Wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook.

Nor Jaimah Kamarudin, 38, didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara hingga sepuluh tahun atau kedua-dua sekali.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga nasi lemak didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan menganjurkan kumpulan wang kutu pada 2018.

Keputusan itu dibuat hakim Norhayati Mohamad Yunus selepas Nor Jaimah Kamarudin, 38, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan salah di hadapan beliau.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook dan kesalahan dilakukan di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam antara Januari hingga Ogos 2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara hingga sepuluh tahun atau kedua-dua sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Iqbal Mohd Yusoff mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind, menurut laporan Kosmo.

Terdahulu, peguam itu dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana OKS mempunyai tiga anak berusia empat hingga lapan tahun dan berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan.

Katanya, ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Manakala Iqbal pula meminta hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak terlibat dalam kegiatan itu.

Menurutnya, ini kerana ia bukan kaedah kutu tradisional, sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan bagi mengelakkan dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.