Pengundi Johor bimbang tentang mata pencarian mereka, kata INSAP

Pengundi Johor bimbang tentang mata pencarian mereka, kata INSAP

Badan pemikir berkaitan MCA itu berkata sebahagian daripada penyokong Cina PH mungkin mengundi MCA kali ini.

Pengangguran dan kekurangan peluang perniagaan akan mempengaruhi pengundi di Johor, kata INSAP.
PETALING JAYA:
Pengangguran dan kestabilan ekonomi menjadi perkara paling penting kepada kepada kebanyakan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan, kata sebuah badan pemikir berkaitan MCA.

Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) berkata, tinjauan yang dijalankan pada akhir Januari menunjukkan 76% daripada 1,240 respondennya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ia juga mendapati bahawa 43% daripada mereka yang ditinjau menyatakan bahawa simpanan mereka hanya boleh bertahan kira-kira tiga bulan, manakala 30% berkata, mereka langsung tidak mempunyai simpanan.

Timbalan Pengerusi INSAP, Pamela Yong berkata keperitan ekonomi di Johor adalah nyata dan bantuan segera diperlukan dengan “rezeki semakin menyusut”.

Tambahnya, ramai orang yang tinggal di Johor bergantung kepada jumlah kedatangan warga Singapura.

Kawalan sempadan akibat Covid-19 telah mengakibatkan pengangguran dan kekurangan peluang perniagaan menjadi keutamaan pengundi apabila memutuskan kerajaan yang stabil untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Kali ini, pilihan mereka akan ditentukan oleh isu yang menjadi asas kehidupan dan bukannya perkara yang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya dalam kenyataan.

Tinjauan itu juga mendapati hampir sebahagian daripada responden Cina yang mengaku sebagai penyokong Pakatan Harapan berkata, mereka akan mempertimbangkan untuk mengundi MCA kali ini.

Lebih 50% daripada responden berkata, mereka kecewa dengan PH kerana gagal menunaikan janji manifesto dan pilihan raya, tinjauan itu mendedahkan.

Yong berkata terdapat data pemerhatian yang kukuh bahawa sokongan Melayu akan berpecah pada PRN Johor.

“Jadi adalah penting bagi BN untuk memanfaatkan komuniti lain bagi menyamakan peluang mereka untuk menang di kerusi tumpuan,” katanya.

Tinjauan itu juga menunjukkan Hasni Mohamed, yang juga calon Menteri Besar Barisan Nasional (BN), dinilai positif merentasi semua kaum.

PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.