Penduduk Malaysia kini 32.4 juta

Penduduk Malaysia kini 32.4 juta

Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 mendapati 52.3% ialah lelaki manakala 47.7% perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Penduduk di Malaysia kini berjumlah 32.4 juta mengikut Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, purata Kadar Pertumbuhan Tahunan Dikompaun (CAGR) penduduk adalah 1.7% dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7% adalah warganegara manakala 2.7 juta atau 8.3% bukan warganegara.

Perdana Menteri berkata, banci juga mendapati 52.3% penduduk ialah lelaki manakala 47.7% perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

“Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, iaitu 100 wanita bersamaan 96 lelaki,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini hari ini.

Ismail berkata, bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi, iaitu sebanyak 69.4% diikuti Cina (23.2%), India (6.7%) dan lain-lain (0.7%).

Dari segi kumpulan umur pula beliau berkata, dapatan menunjukkan 6.8% berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3% berumur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24% dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

“Warga emas, iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 10.4% (3.4 juta) berbanding 2010 sebanyak 8% (2.2 juta).

“Umur muda menunjukkan penurunan daripada 27.6% pada 2010 kepada 24% pada 2020,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci serta terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan purata saiz IR persendirian sebanyak 3.8 orang.

Beliau berkata, penemuan Banci 2020 itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Katanya, dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci 2020 itu, kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak swasta serta masyarakat umum terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan.

Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan banci berkenaan bagi mendapatkan hasil yang bermanfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi generasi akan datang.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini supaya terus membudayakan data dan maklumat dalam pengurusan kehidupan supaya negara dapat membentuk tamadun bangsa yang berfikiran kritis dan analitik berpaksikan data.

“Statistik dan data ini amat berkait rapat dengan pola berfikir dan seterusnya diolah kepada keputusan dan keberhasilan.

“Natijahnya negara bakal melahirkan rakyat yang berminda kelas pertama selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah mencapai status negara maju pada 2030,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.