
Beliau berkata, kerajaan telah membangunkan Sistem Berpusat Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) bagi membendung isu itu.
“Kita sekarang ada sistem FWCMS yang telus, boleh kesan permohonan (pekerja) melalui sistem.
“Bila masuk sahaja dalam sistem tu, dapat kesan permohonan dari awal sehingga pekerja masuk ke Malaysia kita boleh ‘track’ (kesan) sama ada dia (pekerja) ni kena tipu, kena dera dan dimanipulasikan,” kata Zuraida kepada FMT.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, sistem berkenaan sebelum ini di peringkat percubaan dan digunakan secara rasmi bermula tahun ini.
Katanya, pelaksanaan sistem itu tidak akan memberi peluang kepada orang tengah yang mahu mengaut keuntungan melaluinya sebagaimana diminta oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Baru-baru ini, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengeluarkan notis penemuan dan Perintah Tahan Pelepasan (WRO) terhadap beberapa syarikat tempatan dan menyita semua produk kelapa sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad serta anak syarikatnya di negara itu susulan dakwaan amalan buruh paksa.
Sekatan WRO turut dikenakan ke atas produk sarung tangan getah keluaran YTY Group daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat.