
Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Siti Norma Yaakob dan Haidar Mohamed Nor; bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohamad Ariff Md Yunos yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.
Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.
Peguam Christopher Leong yang mewakili bekas hakim sebagai plaintif itu berkata, hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencadangkan agar pihak terlibat meneroka kemungkinan penyelesaian melalui proses pengantaraan.
“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami bersetuju untuk meneroka kemungkinan pengantaraan dan Peguam Persekutuan M Kogilambigai memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai perkara ini dan kembali ke mahkamah pada tarikh pengurusan kes akan datang,” kata peguam itu kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini.
Leong berkata, hakim juga memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai kaitan dengan salah seorang plaintif dalam saman itu (hubungan keluarga) dan meminta pandangan pihak terlibat.
Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa tiada bantahan daripada pihak yang terlibat dan hakim kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya bagi memaklumkan status pengantaraan.
Dalam saman yang difailkan pada 24 Jan lalu itu, semua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada 2% setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.
Plaintif berkata, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.