
Tiga anak pembantu cef, Loh Siew Hong akan tinggal di Rumah Taman Sinar Harapan, iaitu sebuah kemudahan JKM di Jitra, Kedah.
Dalam kenyataan yang dikongsi oleh kumpulan Malaysian Tamilar Kural yang membantu wanita itu, Loh membenarkan anaknya dijaga oleh JKM sementara menunggu permohonan habeas corpus yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam didengar 21 Feb ini.
Terdahulu, Loh disatukan dengan anaknya buat seketika hari ini tetapi memutuskan untuk menyerahkan mereka kepada JKM semula kerana mendakwa mereka “jelas tertekan dan trauma” dengan pengalaman pahit itu.
“JKM bersetuju untuk menjaga kanak-kanak itu sehingga permohonan habeas corpus didengar Isnin depan.

“Pada masa sama, tiada pihak ketiga lain, termasuk pihak berkuasa agama di Perlis, mempunyai akses ke atas kanak-kanak itu, selain ibu mereka yang merupakan penjaga tunggal,” kata NGO itu.
Sabtu lalu, FMT melaporkan Loh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas untuk mendapatkan semula anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan anak lelakinya berusia 10 tahun, yang berada di Perlis.
Tiga beradik itu kali terakhir diketahui bersama keluarga bekas suami Loh, ketika beliau berada di pusat perlindungan wanita selepas didera secara fizikal oleh lelaki terbabit.
Tahun lalu, Loh memfailkan perceraian dan diberikan hak penjagaan penuh ke atas tiga anaknya. Polis bagaimanapun gagal mencari mereka selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk berbuat demikian.
Loh berkata, beliau membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di tiga negeri tahun lalu dan mempunyai petunjuk mencadangkan anaknya sudah ditukarkan agama mereka.