Hishammuddin tak perlu letak jawatan, langgar SOP bukan jenayah, kata PM

Hishammuddin tak perlu letak jawatan, langgar SOP bukan jenayah, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata pelanggaran SOP Covid-19 oleh Menteri Pertahanan bukan kesalahan yang boleh dianggap sebagai jenayah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan kompaun terhadap Hishammuddin Hussein. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein tidak perlu meletak jawatan walapun didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelanggaran SOP itu bukan satu kesalahan yang boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah.

“Langgar SOP bukannya jenayah. Ia tidak ada sangkut paut dengan jenayah dan Kementerian Kesihatan sudah keluarkan kompaun. Kalau siapa kena kompaun kena letak jawatan, saya ingat tiada siapa yang boleh bekerja sebab semua kena letak jawatan,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menuntut Hishammuddin meletakkan jawatan selepas didapati melanggar SOP Covid-19 dalam satu majlis di Johor.

Hishammuddin dilihat dalam satu klip video bergaul dengan khalayak ramai semasa pelancaran Briged MIC Johor di Kota Iskandar semalam.

Dalam ciapan di Twitter, beliau kemudian mengaku melakukan kesalahan dan “tiada siapa terlepas daripada undang-undang”, termasuk dirinya sendiri.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kemudian mengarahkan notis kompaun dikeluarkan atas pelanggaran peraturan penjarakan fizikal.

Presiden MIC SA Vigneswaran dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad turut dikenakan notis kompaun kerana melanggar SOP.

CLICK HERE FOR THE LATEST DATA ON THE COVID-19 SITUATION IN MALAYSIA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.