
Setiausaha Kabinet, Karlo Nograles yang dipetik laporan agensi berita Filipina berkata, pasukan petugas pengurusan Covid-19 negara itu meluluskan syor terbabit yang turut merangkumi protokol kuarantin ketibaan.
Nograles, yang juga pemangku jurucakap Presiden, berkata Biro Kuarantin, Biro Imigresen dan Jabatan Pengangkutan sudah dimaklumkan untuk mengiktiraf bukti vaksinasi dari kedua-dua negara itu.
Pasukan petugas Covid-19 antara agensi Filipina sebelum ini mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan Slovenia, Bahrain, Qatar, Switzerland, Hong Kong, Brazil, Israel, Korea Selatan dan Timor Leste.
Terdahulu, media hari ini melaporkan 13 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino selepas pihak berkuasa Filipina enggan mengiktiraf sijil vaksinasi digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera sebagai bukti vaksinasi.
Tetapi, Kementerian Luar di Kuala Lumpur kemudian berkata, hanya tujuh warganegara Malaysia yang terkandas, bukan 13 orang seperti dilaporkan.
Pengembara berkenaan dilaporkan berkata, pasport mereka dirampas dan akan dihantar pulang esok, tetapi mereka terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tiada kemudahan hotel disediakan.