Fahmi Reza jangka hadapi tuduhan baharu Khamis ini

Fahmi Reza jangka hadapi tuduhan baharu Khamis ini

Aktivis itu didakwa di Mahkamah Sesyen minggu lalu atas dakwaan menghina bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba melalui catatan tahun lalu.

Fahmi Reza berkata ‘satira bukan jenayah’.
PETALING JAYA:
Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza hari ini memaklumkan beliau dijangka menghadapi pertuduhan baharu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia pada Khamis ini.

“Dua tuduhan dalam sebulan! Siapa sangka seorang pereka grafik mampu mengugut pihak berkuasa,” tulisnya di media sosial.

Fahmi berkata, beliau akan menentang tuduhan baharu itu dengan menegaskan “satiran bukan jenayah”.

Tetapi, beliau tidak menyatakan jenis pertuduhan atau catatan mana yang menyebabkan dirinya didakwa kali ini.

Peguamnya, Rajsurian Pillai berkata, polis meminta mereka hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis ini.

Minggu lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghina bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menerusi catatan Twitter pada 10 Feb 2021. Beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000.

Pihak pendakwaan berhujah Fahmi membuat catatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain. Tweet itu menyentuh dasar Kabinet pada 2021 yang membenarkan Menteri menjalani kuarantin tiga hari, bukannya 10 hari, selepas mereka pulang dari luar negara.

Adham adalah Menteri Kesihatan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021. Beliau kini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.