Cadangan kad warga asing, adakan libat urus dengan rakyat Sabah, kata kumpulan hak asasi

Cadangan kad warga asing, adakan libat urus dengan rakyat Sabah, kata kumpulan hak asasi

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali Ali berkata 'isu pendatang asing' adalah isu lama dan rumit, khususnya bagi komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, kad untuk warga asing di Sabah bukan untuk memberikan kerakyatan atau status penduduk tetap. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan mesti mengadakan libat urus secara terus dengan rakyat Sabah berhubung cadangan pemberian dokumen pengenalan diri kepada warga asing, bukannya terus melaksanakan dasar itu, kata kumpulan hak asasi manusia.

Presiden Pusat Hak Asasi Manusia Sabah Sherzali Ali berkata, “isu pendatang asing” adalah isu lama dan rumit dalam kalangan rakyat Sabah, khususnya bagi komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).

Sherzali berkata, punca kegagalan pelaksanaan pas sementara Sabah (PSS) yang diperkenalkan oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH)-Warisan sebelum ini disebabkan kurangnya libat urus dengan orang awam.

Kerajaan Sabah pimpinan Warisan kemudiannya menggugurkan pelaksanaan itu selepas ditewaskan oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis pada Jan 2020.

Sebahagian besar kekalahan Warisan itu dikaitkan dengan isu PSS.

BN dan parti pembangkang tempatan lain memainkan isu berkenaan ketika PRK tersebut dengan mendakwa ia akan membawa kepada pemberian kerakyatan kepada warga asing dan menjadi ancaman kepada kedaulatan Sabah dan negara.

Sherzali berkata, ini boleh berlaku sekali lagi terhadap kerajaan sedia ada jika ia tidak mengendahkan gesaan yang sama.

“Dasar yang amat sensitif kepada rakyat Sabah seperti ini harus diperkenalkan secara berperingkat, bukan terus memaksa orang ramai menerimanya,” katanya kepada FMT.

“Kerajaan perlu mengadakan dialog dengan komuniti tempatan dan pemimpinnya, guna media sosial untuk menyebarkan maklumat malah adakan libat urus dengan pakar asing jika perlu untuk memahami dasar negara lain berhubung perkara itu.”

Peguam hak asasi manusia itu berkata, isu itu amat sensitif khususnya dalam kalangan komuniti KDM kerana mereka masih trauma dengan “projek IC” yang yang merujuk kepada dakwaan bahawa kerakyatan diberikan kepada pendatang tanpa izin (PATI) Sabah pada 1990-an untuk mengubah corak demografi negeri itu.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kad itu akan membolehkan warga asing bekerja di Malaysia secara sah dan menghantar anak mereka ke sekolah tetapi bukan memberikan kerakyatan atau status penduduk tetap.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, dokumen itu sebenarnya ialah “kad warga asing” namun kerajaan Sabah masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.