
Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu lori berusia 32 tahun itu dikenakan saman di bawah Kaedah Lalulintas 18 LN 166/59 pada 11 Feb lalu, selepas lelaki itu dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Ekoran penularan video itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah membuka kertas siasatan di bawah Kaedah Lalulintas 18 LN 166/59.
“Hasil siasatan mendapati lapan kereta peronda polis yang dibawa lori itu adalah hasil jualan lelong aset alih kerajaan Ibu Pejabat Polis Seremban, dengan kenderaan itu dikumpulkan di kawasan Industri Seremban dan seterusnya dibawa menggunakan lori ke Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakaman video selama 58 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter bernama “Nan Manjoi 8715” beberapa hari lalu menunjukkan sebuah lori membawa muatan kereta peronda polis dengan cara yang dilihat berbahaya.