
Pausi Jefridin dan warga Singapura, Roslan Bakar, yang turut mempunyai IQ rendah, dijatuhi hukuman mati di Singapura kerana mengedar dadah pada 2010.
Mereka dijadual menjalani hukuman gantung pada Rabu.
Presiden Badan Peguam, AG Kalidas berkata, mereka berharap kerajaan Singapura dapat mempertimbangkan masalah kognitif Pausi dan Roslan.
“Keadaan itu memerlukan sifat kemanusiaan dan belas kasihan,” katanya.
Semalam, Penyelaras Eksekutif Rangkaian Asia Anti Hukuman Mati, Dobby Chew berkata, mereka telah menerima dokumen mengenai tarikh pelaksanaan hukuman ke atas Pausi dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai hukuman itu Jumaat lalu.
Kalidas berkata, Malaysia dan Singapura adalah penandatangan Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), yang menyatakan bahawa orang cacat mental tidak boleh digantung.
“Kami mengambil maklum dasar ketat Singapura berkaitan pengedaran dadah.
“Bagaimanapun kami amat berharap Singapura akan mengekalkan komitmen yang telah dibuatnya di bawah CRPD,” katanya.
Selain Pausi, seorang lagi rakyat Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam, turut dijatuhi hukuman mati.
Nagaentran memfailkan dua permohonan bulan lalu dalam usaha untuk mengetepikan hukuman matinya.
Mahkamah Rayuan Singapura dijadualkan menyampaikan keputusannya pada akhir bulan ini.