Surat PSC hanya ‘jemputan’ bukan sapina, kena ikut undang-undang, tegas Azam Baki

Surat PSC hanya ‘jemputan’ bukan sapina, kena ikut undang-undang, tegas Azam Baki

Keengganannya untuk berbuat demikian sebelum ini, antara lain, kerana hanya menerima “surat jemputan” dan bukannya sapina untuk menghadiri mesyuarat itu pada 19 Jan lalu.

Azam Baki berkata, mesyuarat PSC itu sendiri tidak menepati keperluan peraturan Parlimen, khususnya Aturan 83(4) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau bersedia hadir mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menjawab isu saham melibatkannya, sekiranya sidang itu dipanggil mengikut peraturan yang ditetapkan.

Azam menegaskan, keengganannya untuk berbuat demikian sebelum ini, antara lain, kerana hanya menerima “surat jemputan” dan bukannya sapina untuk menghadiri mesyuarat itu pada 19 Jan lalu.

“Surat yang saya terima adalah satu surat jemputan sahaja. Jadi, jangan kelirukan orang ramai bahawa saya disapina dan harus hadir untuk menjelaskan semua. Jika saya tidak hadir, seolah-olah saya tidak hormat dan menghina Parlimen.

“Mana boleh begitu? Kalau ini adalah sapina, sudah pasti saya akan hadir dan sebagai pegawai penguatkuasa, sudah pasti saya akan hormat kepada undang-undang yang diperuntukkan,” kata beliau.

Selain itu, kata Azam, mesyuarat PSC itu sendiri tidak menepati keperluan peraturan Parlimen, khususnya Aturan 83(4) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“PSC memerlukan satu kelulusan melalui sidang Parlimen atau ‘referral’ seperti mana yang disyaratkan di bawah aturan itu. Sekiranya ada ‘referral’ Dewan Rakyat, sudah pasti saya akan hadir.

“Jadi, saya berpegang kepada undang-undang itu. Saya bukan tolak untuk hadir tetapi sekiranya ia mematuhi undang-undang, sudah pasti saya akan hadir,” kata beliau kepada FMT dan beberapa media terpilih awal minggu ini.

Beliau juga akur kepada nasihat peguamnya untuk tidak hadir mesyuarat PSC ketika itu kerana siasatan dan tindakan mahkamah berhubung isu itu masih berjalan.

“Isu (saham) itu masih lagi dalam siasatan Suruhanjaya Sekuriti, dan saman saya terhadap (penulis) Lalitha Kunaratnam (yang membuat dakwaan salah laku) telah pun difailkan di mahkamah. Sebarang perbincangan berhubung perkara ini akan berkisar sekitar perkara-perkara yang telahpun dibangkitkan di dalam saman fitnah tersebut.

“(Semua) ini,…(mengikut) nasihat peguam saya, adalah subjudis,” kata Azam.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin sebelum ini dilaporkan berkata, mesyuarat PSC itu ditangguhkan ke tarikh yang akan diputuskan kemudian disebabkan isu-isu yang perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang Parlimen.

Pengerusi PSC Abdul Latiff Abdul Rahman, sebelum ini berkata, Azam menimbulkan kebimbangan bahawa mesyuarat itu mungkin bersifat ultra vires terhadap Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.