PM lawat Brunei: Teroka kerjasama baharu pasca Covid-19, VTL antara dijadual dibincang

PM lawat Brunei: Teroka kerjasama baharu pasca Covid-19, VTL antara dijadual dibincang

Pada Selasa, Ismail Sabri Yaakob dan delegasi dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan membincangkan cadangan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Brunei, dalam lawatan rasmi pertama ke negara itu, bermula Isnin. (Gambar Bernama)
BANDAR SERI BEGAWAN:
Cadangan mewujudkan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Brunei, adalah antara perkara dijadual dibincangkan pada lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu, mulai Isnin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Raja Reza Raja Zaib Shah, berkata lawatan itu akan turut membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala serta meneroka kerjasama baharu pasca Covid-19.

“Selain VTL, antara yang dijangka dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata pada lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri Muhaini Zainal Abidin serta Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Ismail dijadual tiba di Bandar Seri Begawan 8.20 malam, esok, akan diberi upacara sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang mewakili kerajaan Brunei Darussalam.

Pada Selasa, Perdana Menteri dan delegasi dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei. Perdana Menteri dan delegasi kemudian akan diraikan pada Majlis Santapan Rasmi.

Raja Reza berkata pada lawatan dua hari itu, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri majlis minum petang dan ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Brunei dan mengambil kira keadaan semasa Covid-19, majlis itu akan diadakan dengan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang dikuatkuasakan di negara itu.

Beliau berkata, terdapat hampir 25,000 rakyat Malaysia yang menetap di Brunei termasuk penuntut dan golongan profesional.

Mengenai dagangan antara kedua negara, beliau berkata pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dan Brunei adalah RM8.03 bilion, meningkat 70.4%, berbanding RM4.71 bilion pada 2020.

“Malaysia merupakan rakan dagangan keempat terbesar bagi Brunei Darussalam,” katanya sambil memberitahu Malaysia yang lebih banyak mengeksport barangan ke Brunei, antaranya petroleum dan produk makanan.

Lawatan rasmi Ismail ke Brunei itu adalah yang pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ogos lalu, dan ia melambangkan iltizam kerajaan memperkukuhkan hubungan istimewa sedia ada antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini, menyatakan lawatan itu dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Brunei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.