Azam hadir prosiding PAC selepas terima jemputan pada 2020, kata Ahli Parlimen

Azam hadir prosiding PAC selepas terima jemputan pada 2020, kata Ahli Parlimen

Alasan Azam Baki tidak menghadiri pendengaran PAC baru-baru ini disifatkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong sebagai lemah.

Khoo Poay Tiong berkata, oleh kerana Azam Baki membangkitkan isu sapina, PSC akan meminta Setiausaha Parlimen memanggilnya untuk hadir prosiding mereka.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki pernah menghadiri pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Oktober 2020 dengan hanya surat jemputan.

Justeru, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata alasan pegawai tertinggi agensi antirasuah itu tidak hadir kerana sekadar menerima surat jemputan baru-baru ini bagi membincangkan kontroversi pemilikan sahamnya, disifatkan lemah.

“Beliau tidak perlu menggunakan alasan lemah seumpama itu untuk mengelak daripada berdepan PSC.

“Bagaimanapun, oleh kerana beliau membangkitkan isu berkenaan, kami akan memohon Setiausaha Parlimen memanggilnya menerusi sapina,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, mesyuarat PSC bagi membincangkan isu pemilikan saham Azam ditangguhkan sementara menunggu rujukan penasihat undang-undang Parlimen.

Azam, yang menafikan sebarang salah laku, bimbang mesyuarat berkenaan akan melanggar perintah tetap Dewan Rakyat.

Dalam wawancara dengan beberapa media yang diterbitkan hari ini, Azam berkata, beliau tidak hadir di depan PSC bulan lalu kerana hanya menerima “jemputan” untuk berbuat demikian.

Jika disapina, katanya, beliau pasti akan hadir kerana sebagai pegawai penguat kuasa, beliau perlu menghormati undang-undang.

Seorang lagi ahli PSC, William Leong berkata, jawatankuasa itu sentiasa menghantar jemputan menerusi surat atau menghubungi secara peribadi, sekiranya mereka perlu membincangkan atau mendapatkan penjelasan berhubung sesuatu isu dengan mana-mana pegawai berkuasa.

Leong berkata, sejurus surat jemputan dihantar, individu itu perlu hadir secara sukarela di depan PSC.

“Kami hanya memanggil atau mengeluarkan sapina sekiranya individu itu memilih tidak hadir atau memintanya. Itu hanya bertindak dengan cara sukar,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Selayang itu berkata, Azam berhak menyuarakan pendapatnya dan beliau menghormati keputusannya tidak hadir selepas kali terakhir dijemput berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.