
Ramadan pun bermula, dan di belakang kita sudah pun Rejab dan Syaaban ditinggalkan. Bulan-bulan mulia yang umat menghindari diri daripada berkelahi dan bersengketa. Bulan-bulan dituntut kita beristighfar dan bertaubat. Dalam pada itu, tetaplah ada yang tiada silu segan untuk menyalakan api.
Ada segelintir yang turun ke jalan raya, dan berani mengangkat mikrofon meneruskan muslihat dan makar, seperti dia yakin benar-benar semua yang dilapor media itu terjadi. Ada yang bikin sepanduk, menjulang bunting dan poster, mengangkat tinggi ketiak kayu tertampal satu dua karikatur. Apabila saya ditanyai, di mana sikap saya sebagai seniman; maka saya teringat ucapan Saidina Ali di saat kekhalifahannya.
Kalau anda menilik dan mengenal sejarah hayat politik Saidina Ali, kita akan tahu baginda dilantik sebagai pemerintah dalam keadaan serba-serbi huru-hara, dan dia sedang mengusahakan reformasi institusi. Dalam bayangan kita ini, harus dibayangkan bagaimana Khalifah Uthman baru terbunuh, darahnya masih basah, fitnah marak berleluasa, dan orang mudah-mudah percaya dengan apa sahaja naratif.
Apa yang Saidina Ali bilangkan kepada umat manusia di Madinah ketika itu? “Lisan manusia tidak akan mampu menyamai penglihatan langsung dengan mata dalam menggambarkan sesuatu.”
Tetapi kata-kata atau ungkapan di atas yang demikian langsung, dan perlu direnung sungguh-sungguh untuk dijadikan pedoman hari ini, sedang sedap kita persetankan.
Saya tak menyalahkan anak-anak yang berderau darah muda, serasa inilah kebenaran. Kalaukan di zaman lampau manusia sehebat Saidina Ali pun tidak didengari, apa yang akan kita harapkan daripada suara menuntut misalnya agar Azam Baki turun dan dipromosi dengan istilah ‘skandal’ seakan-akan ‘penglihatan langsung dengan mata’. Kita tidak pernah mahu berhati-hati.
Tentu untuk mereka yang percaya laporan Bloomberg itu, di pihak mereka sedang sangat mengimani bahawa mereka itu sedang menegakkan kebenaran. Mereka bikin sepanduk, menghela speaker, dan menyorak di tebing jalan seakan-akan itulah yang betul. Seolah-olah kita akan percaya dengan jujur, bahawa ada kudrat dan usaha mereka untuk turun ke jalan raya di hujung Syaaban itu adalah untuk nusa bangsa.
Bagaimana mereka sangat percaya yang sedang dilapor itu bukan fitnah, di bulan yang mulia?
Saidina Ali tatkala mengambil pemerintahan daripada Khalifah Uthman, berusaha sedaya upaya membersihkan kekhalifahan daripada gejala korupsi yang merebak bagai wabak. Dan Saidina Ali mengingatkan kepada orang di Madinah, begini katanya; ‘elakkan bala bencana yang bersumberkan dendam’.
Dan Saidina Ali lagi berpesan, ‘jangan menyimpang di tengah debu syubhat yang berterbangan’. Baginda menambah lagi, ‘sekarang masih terhitung permulaan, benih fitnah baru terbentuk dan gerahamnya mulai tertanam, kelak secara perlahan akan tumbuh berkembang’.
Tentu, tidak ada siapa Saidina Ali dan siapa Muawiyah dalam pesan yang ingin saya nukilkan dalam rencana ini. Saya tidak menyinggung insiden ini sebagai analogi. Saya hanya ingin pembaca diam sejenak dan merenung semua kata-kata Saidina Ali itu. Kata-kata baginda itu boleh dijadikan panduan. Antara kata-kata Rafizi Ramli, dan kata-kata Saidina Ali, takkan umat mahu melempar kata-kata Saidina Ali ke tepi untuk tidak direnungkan?
Saya hairan, bagaimana ada dalam kalangan kita sangat yakin bahawa ‘wahhh inilah yang benarnya’, seolah-olah riwayat saham Azam ini tidak ada cacat celanya, di tengah makar muslihat siasah berterbangan bagai debu yang menusuk hidung dan memedihkan mata, kita sebenarnya boleh duduk bertenang dan memikir bolehkah ini semua dielakkan daripada menjadi bala bencana, tambah-tambah kalau kita tenungkan ia boleh berasal daripada dendam. Ya, dendam. Kata Imam Ali, awasi pada dendam, ia boleh menjadi makhluk perosak yang membawa kepada pertumpahan darah.
Oleh kerana kita di hari pertama Ramadan, sebagai seniman yang kecil saya mengajak pembaca bertafakur. Dalam agama kita Islam, tafakur adalah ibadah. Dalam tafakur ada panduan yang diajarkan oleh kepercayaan kita. Apakah panduan ketika bertafakur?
Pertamanya, kita diminta menjauhi persangkaan sehinggalah kelak terbit kepastian itu sepertinya matahari. Dalam agama kita bukti-bukti harus terik cahayanya hingga sukar disangkal.
Keduanya, agama kita mengajarkan yang kecondongan peribadi akan membenihkan kecurigaan dan ia menjadi sebab musabab penyimpangan daripada kebenaran. Jika yang beria membantai seseorang itu ada kecenderungan dan agenda maka agama mengajarkan kita untuk terus bertafakur dan berwaspasda. Dalam agama kita bukti-bukti harus terik cahayanya hingga sukar disangkal.
Ketiganya, dalam agama kita tafakur akan membawa kita kepada satu perenungan, iaitu apa sahaja yang datang ketergesa-gesaan harus lebih diselidiki. Cicitnya Saidina Ali, bernama Jaafar al-Sadiq memesankan jangan tergesa-gesa dalam menegaskan; dan jangan pula tergesa-gesa menolak dan keputusan harus datang daripada kecukupan ilmu. Dalam erti kata lain, dalam agama kita bukti-bukti harus terik cahayanya hingga sukar disangkal.
Keempat, manusia cenderung untuk tidak bertanya dan mempersoalkan kerana manusia telah punya idea, sangkaan, tanggapan dan gagasan tertentu. Al-Quran dalam banyak ayatnya meminta manusia menimbang dengan kearifan. Bahawa kepercayaan atau obsesi masa lampau boleh mengeruhkan penilaian dan hanya dengan tafakur dan perenungan sahaja kita akan beroleh kebijaksanaan. Sekali lagi agama kita menagih bukti-bukti hingga terik cahayanya untuk disangkal.
Kelima, ini satu tafakur yang penting, iaitu panduan bertafakur yang harus kita sendalkan dalam jiwa dan benak. Ia adalah penghindaran daripada penyembahan atau pemujaan hero. Manusia, akan kehilangan kebebasan berfikir sebaik sahaja menetapkan heronya, dan hero itu akan membantu ia membuat keputusan sehingga segalanya didominasikan. Betapa ramai umat manusia kesal, seperti disebut dalam al-Quran dalam satu ayat suci al-Quran, al- Ahzaab ayat 67 yang terjemahannya begini:
“Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”
Keenam, dalam Islam kita umat diajari agar memanfaatkan alam, sejarah dan jiwa serta akal sendiri untuk dijadikan panduan ketika bertafakur. Dalam hal ini saya teringat kata-kata ahli falsafah Immanuel Kant, betapa rasio, akal budi, hukum moral dalam diri juga harus ditanyai di saat melakukan perenungan.
Ia melengkapi tafakur kita sebelum kita turun membuat bencana di hujung atau di awal bulan mulia yang ada perintah untuk meminta kita mengelakkan sengketa.
Jadi, sungguh aneh untuk orang turun ke jalan raya sebetul-betul percaya seakan-akan semua hukum-hakam tafakur telah dipenuhi.
Benih fitnah di ibu kota itu boleh berpunca daripada dendam. Segala tafakur yang tekun barangkali sahaja membawa kita kepada wajah-wajah pendendam. “Lisan manusia tidak akan mampu menyamai penglihatan langsung dengan mata dalam menggambarkan sesuatu.”
Saya tidak tahu apa yang betul-betul terjadi di sebalik saham Azam. Ramai koruptor tertangkap di bawah pengelolaannya. Secara logik akal dia manusia paling ramai musuh. Dan cerita yang tidak tentu bukti ini akan melarat ke bulan penentuan penyambungan khidmatnya. Tamat tempoh Azam membuatkan beberapa orang sedikit sejuk, dan tiada lagi panas.
Justeru, lisan manusia masih boleh saya sangsikan. Tambah jika puncanya daripada pendendam. Melainkan ia terik menjadi bukti jika ia ada di hadapan mata. Tapi aneh ya, bukan main senang orang yakin bahawa apa yang tidak dilihatnya itu sebagai kebenaran, dan mereka itu yakin ke tahap beriman apa sahaja dilapor media, dan itu dilakukan di hujung Syabaan di permulaan Ramadan!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.