Pelarian tak boleh dihantar pulang ke negara asal, kata UNHCR

Pelarian tak boleh dihantar pulang ke negara asal, kata UNHCR

Undang-undang adat antarabangsa menghalang kerajaan daripada mengusir pelarian ke tempat di mana nyawa atau kebebasan mereka mungkin terancam.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata prinsip tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal adalah terikat kepada semua negara.
GEORGE TOWN:
Setiap negara tidak boleh menghantar pulang pelarian ke negara asal mereka kerana ia akan melanggar undang-undang antarabangsa, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Suruhanjaya itu mengulas mengenai penahanan dan pengusiran bekas Duta Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman.

Dalam e-mel kepada FMT, UNHCR berkata pelarian tidak boleh dihantar pulang ke negara asal mereka mengikut prinsip non-refoulement, yang menghalang kerajaan daripada mengusir pelarian ke tempat di mana nyawa atau kebebasan mereka mungkin terancam.

“Ia dikenali dalam undang-undang adat antarabangsa di mana setiap negara terikat tanpa mengira sama ada ia menandatangani Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang Pelarian, atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas situasi Mohamed.

Bekas Duta Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman.

Mohamed, 65, seorang pemegang kad UNHCR mengenai suaka politik di Malaysia sejak 2009, telah dibawa oleh agensi penguatkuasaan yang tidak didedahkan pada Rabu lalu di rumahnya di Ampang.

Khairuzzaman dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia pada 2007. Dua tahun kemudian, beliau dipanggil semula ke Bangladesh selepas pertukaran kerajaan. Dia enggan kembali dan terus berada dalam buangan sejak itu.

Alasan di sebalik penahanan Mohamed masih belum diketahui. Media Bangladesh membuat spekulasi bahawa penahanannya ada kaitan dengan pembunuhan rampasan kuasa 1975 di Dhaka, yang mana pegawai kerajaan di sana berkata dia perlu dibawa balik untuk berdepan pertuduhan.

Mohamed menjalani hampir empat tahun dalam tahanan pada 1996 tanpa perbicaraan di negara asalnya atas dakwaan pembunuhan, dan dianggap sebagai tahanan politik oleh Amnesty International.

Peguam M Ramachelvam berkata kuasa yang diberikan di bawah undang-undang ekstradisi bukanlah carte blanche (kuasa penuh) untuk menghantar pulang orang, terutama atas sebab politik.

Beliau berkata syarat ketat di bawah Akta Ekstradisi 1992 perlu dipatuhi, dan dalam kes bekas Duta itu, sebagai pelarian dia tidak boleh dihantar pulang ke negara asalnya.

“Kerajaan tidak sepatutnya menghantar pulang seseorang sekiranya dia berdepan ancaman terhadap nyawa atau kebebasannya disebabkan oleh kaum, agama atau penjajaran politik,” kata Pengerusi bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam itu.

Sementara itu, Human Rights Watch (HRW) menggesa Malaysia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mempercepatkan permohonan Mohamed bagi mendapatkan pemastautin tetap bagi membolehkannya bersama-sama isteri dan anak lelakinya yang berpangkalan di sana.

Terdahulu, isteri Mohamed, Rieta Rahman, berkata AS telah meluluskan permohonan kad hijaunya tetapi ia tertangguh di peringkat pengesahan keselamatan oleh polis Malaysia, yang ditolak walaupun selepas percubaan beberapa kali.

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson berkata Mohamed mungkin berdepan dengan tangkapan, penderaan dalam tahanan dan penganiayaan di negara asalnya jika dia dihantar pulang.

“Cara terbaik ketika ini ialah membebaskannya segera dan memudahkan petempatan semula negara ketiga untuk dia menyertai keluarganya di AS,” katanya dalam e-mel kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.