PATI juga mangsa hutang, aktivis beritahu pegawai kanan polis

PATI juga mangsa hutang, aktivis beritahu pegawai kanan polis

Aktivis hak asasi manusia berkata ramai pekerja asing sama ada mempunyai dokumen atau tidak, menjadi mangsa yang terikat dengan hutang.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata ramai pekerja asing terpaksa meminjam atau menjual rumah keluarga untuk membayar ejen dan penyeludup.
PETALING JAYA:
Aktivis hak asasi manusia menepis kenyataan seorang pegawai kanan polis bahawa pendatang asing tidak boleh disifatkan sebagai miskin memandangkan mereka mampu membayar sindiket untuk menyeludup masuk ke negara ini.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira dan Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata ramai pekerja asing sama ada mempunyai dokumen atau tidak, menjadi mangsa yang terikat dengan hutang.

“Mereka terpaksa meminjam atau menjual rumah keluarga untuk membayar ejen serta penyeludup,” kata Pereira.

“Pendatang asing yang mengambil pinjaman tidak mampu untuk mengambil risiko menukar atau kehilangan pekerjaan walaupun keadaan di tempat kerja itu begitu teruk kerana masih belum melangsaikan hutang.”

Katanya, ramai orang tengah mengaut keuntungan besar daripada pendatang asing berkenaan.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Hazani Ghazali, berkata pendatang haram akan membayar kira-kira RM1,300 kepada sindiket untuk diseludup masuk ke negara ini.

“Untuk masuk ke Malaysia, mereka perlu ada beribu-ribu ringgit. Itu bermakna mereka ada wang,” katanya.

Pereira berkata, angka yang diberikan oleh Hazani itu terlalu rendah kerana ia sebenarnya adalah di antara RM2,000 hingga RM20,000.

Katanya, undang-undang mesti dipinda untuk menganggap pelanggaran imigresen sebagai kesalahan pentadbiran dan bukannya jenayah yang boleh dihukum penjara atau hukuman dera.

Das berkata ramai pendatang telah ditipu dan diperas ugut oleh agensi pengambilan yang tidak dikawal.

“Pekerja terjerumus dengan hutang dan tidak mempunyai banyak pilihan selain terus berada di negara ini untuk membayar sejumlah besar wang dipinjam dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya kepada FMT.

Beliau memetik satu contoh membabitkan pembantu rumah Indonesia yang akan bekerja tanpa gaji selama bertahun-tahun untuk menjelaskan bayaran mereka dengan ejen pengambilan yang “tidak bertanggungjawab”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.