
Perkara itu dimaklumkan kepada media oleh peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Nazifuddin, selepas prosiding pengurusan kes hari ini.
Kes itu didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee yang turut dihadiri oleh peguam Sakinah Najwa Hussin bagi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Abhilaash Subramaniam mewakili Badan Peguam Malaysia yang bertindak sebagai ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah.
Wee berkata semalam, mahkamah membenarkan permohonan peguam LHDN untuk menangguhkan pendengaran permohonan itu yang dijadual pada 16 Feb depan.
Beliau berkata, LHDN turut memohon untuk menangguhkan prosiding pada 8 Feb lalu kerana seorang daripada peguamnya positif Covid-19.
Najib dan Nazifuddin memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, berhubung pembayaran cukai berkenaan.
Pada 9 Sept lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin.
Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Perintah terhadap Najib dan Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Ahmad Bache dan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia, turut memfailkan saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.