
Beliau menjelaskan, JKP yang melantik Khairuddin menjadi ahli Majlis Syura dan jawatankuasa itu juga berkuasa menarik balik keahliannya.
“Itu kuasa JKP. Mereka yang tentukan, mereka yang tarik balik pelantikan,” katanya kepada FMT.
Hashim tidak melihat sebarang masalah daripada pengguguran Khairuddin itu kerana Mursyidul Am tidak boleh melantik seseorang yang bukan ahli Majlis Syura sebagai setiausaha badan itu.
“Kuasa melantik setiausaha terletak pada Mursyidul Am tapi bagaimana Mursyidul Am nak lantik seorang yang bukan ahli Majlis Syura?” jelasnya.
Terdahulu, Khairuddin, selepas pemecatannya sebagai ahli Majlis Syura yang diumumkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkongsi dengan FMT petikan peraturan parti yang menyatakan setiausaha boleh diberhentikan dengan persetujuan badan itu.
Beliau dipecat daripada jawatan itu tidak sampai sebulan selepas digugurkan daripada JKP. Hadi dilaporkan berkata, keputusan itu diambil berikutan “masalah disiplin” yang dikaitkan dengan Khairuddin.
Khairuddin dilantik ke JKP selepas tewas pada pemilihan parti bagi sesi 2021-2023.
Sementara itu, Hashim memaklumkan JKP telah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Khairuddin itu dengan melantik Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahya.
Hashim berkata, PAS telah membincangkan “masalah disiplin” yang diperkatakan itu dengan Khairuddin.
“Keputusan akhir dia digugurkan daripada Majlis Syura,” katanya.