
TUDM sudah menerima tiga daripada empat helikopter itu, sementara sebuah lagi dijadualkan diperolehi Mei nanti.
Hishammuddin berkata, helikopter yang diperoleh secara sewaan dari sebuah firma swasta itu adalah langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, serta untuk mengurangkan kebergantungan terhadap helikopter EC 725AP.
“Sewaan helikopter AW 139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab, antaranya menampung penugasan helikopter Nuri yang tamat operasi selaras keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pengenalan Pesawat Helikopter AW 139 TUDM dan melawat projek naik taraf Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Pangkalan Udara Butterworth pada Khamis.
Sementara itu, Hishammuddin dipetik Bernama berkata, sewaan empat helikopter AW 139 itu mengguna pakai konsep GOCOM (kerajaan guna dan aset penyelenggaraan oleh syarikat), yang mana semua kos senggaraan pesawat di bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter, iaitu Westar Aviation Services Sdn Bhd.
“Kaedah sewaan ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding pembelian helikopter baharu, malah membolehkan TUDM memanfaatkan aset diperlukan dalam tempoh lebih cepat.
“TUDM memilih helikopter AW 139 kerana kemampuannya melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik, serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam.”
Katanya, penggantian helikopter Nuri dirancang dilaksanakan bermula 2026, dengan 12 helikopter akan diperoleh dalam fasa 1 (RMK13 dari 2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 lagi helikopter yang akan diperoleh dalam fasa 2 (RMK14 dari 2031 hingga 2035).