Hamzah, Saravanan ambil ‘pendirian berbeza’ dalam MoU amah, dakwa Duta Indonesia

Hamzah, Saravanan ambil ‘pendirian berbeza’ dalam MoU amah, dakwa Duta Indonesia

Duta Indonesia, Petahana Hermono berkata Jakarta memberi taklimat kepadanya mengenai kenyataan didakwa bercanggah oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

Hamzah Zainudin dan M Saravanan mengambil ‘pendirian berbeza’ mengenai memorandum persefahaman berkait pengambilan pembantu rumah, dakwa Duta Indonesia.
PETALING JAYA:
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Petahana Hermono mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengambil “pendirian berbeza” mengenai memorandum persefahaman (MoU) berkait pengambilan pembantu rumah ke Malaysia.

Katanya, beliau menerima maklumat bahawa dua menteri itu membuat kenyataan bercanggah mengenai pendirian Malaysia berhubung MoU kepada Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan “percanggahan” yang dimaksudkannya itu.

“Saya tidak boleh mendedahkan secara terbuka apa yang kedua-dua menteri itu katakan kepada Menteri Tenaga Kerja kami. Tetapi saya boleh katakan mereka (mengambil) pendirian berbeza. Saya tidak boleh berkata apa-apa tanpa (mewujudkan) fakta.”

FMT telah menghubungi Hamzah dan Saravanan untuk komen mereka.

Hermono juga berkata, ketika beliau sedar bahawa Hamzah sudah bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian untuk berbincang mengenai MoU itu, perkara itu tidak berkaitan dengan portfolio menteri republik itu.

“Memang dia (Hamzah) berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri kita, tetapi Menteri Dalam Negeri kita tiada kena mengena dengan isu MoU.

“Beliau juga berjumpa dengan Menteri Tenaga Kerja dan daripada maklumat yang saya dapat daripada kementerian di Jakarta, apa yang Hamzah katakan berbeza dengan apa yang Saravanan katakan.

“Sebab itu kami keliru. Yang mana satu pendirian kamu? Kami mahukan pendirian yang sama daripada Malaysia,” katanya.

Hermono mengulas kenyataan Hamzah yang beliau menepis kritikan duta itu bahawa Jabatan Imigresen tidak memberi kerjasama penuh dalam rundingan untuk memuktamadkan MoU itu.

Hamzah semalam berkata, Hermono perlu menyemak dengan Menteri Dalam Negeri Indonesia jika dia tidak tahu apakah yang sedang berlaku.

“Kalau dia tidak tahu, dia tanyalah dengan menteri dia. Takkan saya menteri, saya jumpa menteri dia, saya kena beritahu (Hermono).

Kata Hamzah, beliau sudah membincangkan isu itu dengan rakan sejawatannya ketika lawatan kerja ke Jakarta bulan lalu.

“Dia tidak berpuas hati? Saya nak maklumkan yang berbincang ini antara saya dengan menteri dia,” kata Hamzah.

Terdahulu, Hermono dilaporkan tidak puas hati atas pembabitan terhad Jabatan Imigresen Malaysia dalam rundingan MoU itu, selain menghantar pegawai yang tidak boleh membuat keputusan ke mesyuarat berkenaan.

Katanya, Indonesia memerlukan komitmen politik daripada Malaysia bahawa MoU pengambilan pembantu rumah dari republik itu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum ia dimeterai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.