E-buku, autonomi sekolah boleh atasi masalah beg berat, kata bekas menteri

E-buku, autonomi sekolah boleh atasi masalah beg berat, kata bekas menteri

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah perlu menggerakkan iltizam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran digital.

Maszlee Malik akur amalan menggalas beg sekolah yang berat akan menjejaskan kesihatan tulang belakang pelajar.
CYBERJAYA:
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mencadangkan penggunaan e-buku atau buku elektronik secara meluas sebagai salah satu penyelesaian kepada isu beg sekolah berat yang dikaitkan dengan masalah sakit tulang belakang pelajar.

Maszlee berkata, wabak Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah sebelum ini, harus menggerakkan iltizam politik untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran digital yang lebih dinamik.

“Covid-19 ini mengubah cara hidup kita. Jadi kalau nak selesaikan isu beg berat, kita kena mengubah cara kita belajar. Di negara maju tak ada buku teks. Kalau ada pun dalam bentuk elektronik dan sekarang kita tahu banyak aktiviti ‘e-learning’ (dalam) pengajaran dan pembelajaran di rumah,” katanya kepada FMT.

Justeru kata Maszlee, kerajaan harus menerokai penggunaan e-buku sebagai keutamaan untuk mengajar seperti di negara maju.

“Sekarang sudah ada e-buku teks. Separuh (tempat) yang mungkin tak ada akses seperti di kampung, barulah kita cetak. E-buku teks yang ada di laman web kementerian (Kementerian Pendidikan) pun boleh dimuat turun.”

Beliau turut menegaskan bahawa keperluan kuasa autonomi diberikan kepada pengurusan sekolah dan guru untuk menentukan cara pengajaran terbaik berdasarkan keperluan masing-masing.

“Saya yakin cikgu-cikgu ini ramai yang kreatif. Ada antara mereka didedahkan kepada dunia untuk cara bagaimana nak mengembangkan kaedah pengajaran paling baik kepada pelajar dan kepada pelajar untuk belajar. Tapi bila terlampau terikat dengan kawalan Putrajaya…cikgu-cikgu jadi macam tak kreatif,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan kisah pelajar Tingkatan 5, Nurul Hanim Fazwin, 17, yang terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah. Masalah itu dikaitkan dengan amalan pelajar itu menggalas beg sekolah berat saban tahun.

Bapa Hanim yang juga pakar kanak-kanak (pediatrik) di sebuah hospital swasta, Dr Mohd Zaqrul Ramzal Mohd Podzi, 44, mendedahkan angka kes kanak-kanak yang menderita kerana tulang belakang bengkok di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semakin membimbangkan.

Maszlee berkata, semasa menjadi Menteri Pendidikan, beliau amat memberi perhatian kepada isu beg sekolah berat dengan menggesa KPM melakukan libat urus dengan pihak sekolah, PIBG, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Kita keluarkan pekeliling berkaitan jadual anjal. Kita serahkan kepada pihak sekolah bersama PIBG dan guru-guru untuk lihat macam mana nak selesaikan (isu itu),” katanya.

Beliau kesal kerana isu itu tidak lagi menjadi tumpuan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, malah diabaikan apabila sekolah ditutup semasa ‘lockdown’ pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.