Surat sokongan UMS: Peter nafi perdaya MOF, Najib, bekas Ketua Hakim Negara

Surat sokongan UMS: Peter nafi perdaya MOF, Najib, bekas Ketua Hakim Negara

Peter Anthony berkata, beliau tidak memalsukan surat sokongan dan tidak memperdaya saksi pendakwaan lain.

Peter Anthony berkata, syarikatnya mungkin mempunyai kelebihan berbanding syarikat lain untuk mendapat sesuatu projek kerana mempunyai akses kepada Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peter Anthony hari ini menafikan beliau memperdaya Kementerian Kewangan (MOF), bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan bekas Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi berkaitan surat sokongan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata, beliau juga tidak memalsukan surat sokongan itu, selain tidak memperdaya saksi pendakwaan lain, iaitu rakannya Mohd Shukur Mohd Din, bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Shariff Abd Kadir Shariff Omang, bekas Pengerusi Ulink Property Sdn Bhd, Abdullah Mohd Said dan bekas Naib Canselor UMS, Profesor Mohd Harun Abdullah.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari kedua prosiding membela diri terhadap pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja M&E.

Sebelum ini, Najib yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 memaklumkan Mahkamah Sesyen yang mendengar kes itu, beliau marah kerana diperdaya berkaitan surat sokongan tersebut supaya kontrak kerja M&E di UMS yang memerlukan kelulusannya diberi kepada syarikat milik tertuduh.

Peter, 51, berkata beliau mempunyai akses secara terus kepada Najib, yang ketika itu Perdana Menteri, kerana Ketua Setiausaha Sulit Najib, iaitu Allahyarham Azlin Alias adalah sahabat baiknya.

Ketika disoal Wan Shaharuddin sama ada Peter pernah berjumpa dengan Najib sendiri untuk melobi syarikatnya bagi mendapatkan sesuatu projek (selain daripada yang dinyatakan dalam pertuduhan), beliau menjawab: “Ya, pernah kerana syarikat saya berdaftar dengan pembinaan serta mempunyai ramai pekerja.”

Wan Shaharuddin: Maka Datuk mempunyai kelebihan daripada syarikat lain untuk mendapat sesuatu projek kerana mempunyai akses kepada Perdana Menteri untuk melobi kerja tersebut?

Peter: Mungkin syarikat saya mempunyai kelebihan.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan, ada syarikat secara senyap-senyap menggunakan pihak ketiga untuk mendapatkan kontrak kerja M&E menerusi tender terbuka.

Ketika disoal peguam S Devanandah sama ada Peter dan syarikat Asli Jati Engineering mempunyai kepentingan jika mendapat kontrak kerja M&E, beliau menjawab, keuntungan itu bukan hanya diperoleh syarikatnya semata-mata, malah UMS sendiri akan mengaut banyak keuntungan tanpa perlu mengeluarkan modal.

Pembantu peribadi Peter, Imy Christopher, 36, dalam keterangannya pula mengesahkan Shukur tidak pernah datang ke pejabat tertuduh di Plaza Damai, Kota Kinabalu dan dia sama sekali tidak pernah berjumpa lelaki itu di pejabat berkenaan.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, tiada sesiapa pun, selain dirinya yang boleh menggunakan komputer di pejabat Peter kerana ia mempunyai kata laluan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 18 Feb ini.

Pada 14 Dis 2021, Mahkamah Sesyen memerintahkan Peter untuk membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di tingkat lima bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.