Merusuh di lebuh raya, 4 penarik kereta didenda RM3,000

Merusuh di lebuh raya, 4 penarik kereta didenda RM3,000

Empat tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan bersama empat lagi yang tidak mengaku bersalah, mengambil bahagian dalam satu rusuhan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 26 Jan lalu.

Pada 26 Jan lepas, klip video yang dirakam orang awam mengenai pergaduhan sekumpulan lelaki di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu tular di media sosial dengan punca pergaduhan dipercayai berkaitan urusan menarik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
GEORGE TOWN:
Gara-gara merusuh di atas lebuh raya, empat penarik kereta didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab turut memerintahkan keempat-empat mereka dihukum penjara tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tan Cheng Hooi, 50; YA Dharanidharan, 30; Lee Soon Aun, 36 dan Khoo Boo Aik, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama empat lagi, yang tidak mengaku bersalah, mengambil bahagian dalam satu rusuhan dan dengan sengaja merusuh dengan menggunakan topi keledar, rantai besi dan mangga di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 2.13 petang 26 Jan lepas.

Semua lapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim dan empat tertuduh yang mengaku salah diwakili peguam Kenzaly Goik manakala mereka yang tidak mengaku bersalah, iaitu S Surendren, 27; N Lekkeswaran, 27; Muhammad Zhafar Megat Zabil, 22 dan Muhammad Faiez Ahmad, 21, diwakili peguam Malkit Kaur dan Dilsimran Kaur.

Nur Melati Diana membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin ke atas keempat-empat tertuduh dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Jan lepas, video rakaman orang awam mengenai pergaduhan sekumpulan lelaki di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini tular di media sosial dengan punca pergaduhan itu dipercayai berkaitan urusan menarik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua kenderaan lain di situ.

Sementara itu, di mahkamah sama, enam individu turut didakwa atas kesalahan bergaduh sehingga mengganggu ketenteraman awam di tempat awam pada 1 Feb lepas.

Muhammad Ridzuan Rawther, 33; Rais Ahmad Mohamud Hussain, 38; Anwar Ibrahim Noorkan, 39; Jamil Kader Gani, 36; Mohamad Khrom Mohamad Salam, 32 dan Ridzuan Mohamad Salam, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka dituduh secara bersama melakukan “gaduh gempar” sehingga mengganggu ketenteraman awam di Kedai Astaka Medan Renong, Padang Kota Lama pada 11.40 malam, 1 Feb lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua tertuduh diwakili peguam Anil Singh Khera manakala pendakwaan dikendalikan oleh Mohammad Nazri.

Nur Melati Diana membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap orang dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula.

Pada 2 Feb lepas, video berdurasi 44 saat tular di media sosial yang menunjukkan dua kumpulan individu bergaduh di Medan Selera Padang Kota Lama sehingga menyebabkan pelanggan yang sedang menikmati makanan bangun dari situ kerana bimbang keselamatan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.